Images
  • strawberries punnet
    Gambar fail buah strawberi. (Gambar: Daniel Leal-Olivas/AFP)

Jenama strawberi Australia yang dicemari jarum tidak diimport ke S'pura

SINGAPURA: Jenama-jenama buah strawberi dari Australia yang dilaporkan dicemari dengan jarum dan peniti tidak diimport ke Singapura, menurut Penguasa Agromakanan dan Veterinar (AVA) pada Sabtu (15 Sep).

"Berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan oleh pihak kami, kami mendapati bahawa jenama-jenama buah strawberi yang terjejas tidak diimport ke Singapura," menurut AVA sebagai menjawab soalan-soalan Mediacorp.

Pada Khamis (13 Sep), pihak berkuasa Australia meminta orang ramai supaya membuang buah-buah strawberi di bawah jenama Berry Licious atau Berry Obsession yang dibeli dari Woolworths Group selepas tiga bekas buah strawberi didapati dicemari dengan jarum penjahit.

Enam jenama buah strawberi kini ditarik balik selepas polis menerima lebih banyak aduan mengenai jarum-jarum yang didapati diletakkan di dalam buah strawberi.

Jenama-jenama tersebut adalah: The Berry Obsession, Berry Licious, Donnybrook Berries, Love Berry, Delightful Strawberries dan Oasis.

Rakyat Australia juga diberi amaran supaya memotong terlebih dahulu buah-buah strawberi sebelum memakannya.

Wilayah Queensland di Australia juga hari ini (15 Sep) menawarkan ganjaran bernilai AUS$100,000 (S$98,300) bagi mendapatkan maklumat mengenai mereka yang bertanggungjawab melakukan perbuatan sabotaj dengan meletakkan jarum-jarum jahitan di dalam buah-buah strawberi. 

- CNA/AI/ai

Top