Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jangan kongsi terlalu banyak maklumat tentang anak anda di media sosial, ada kesan negatifnya

Berkongsi tentang anak anda di media sosial secara berlebihan boleh membawa kesan negatif kepada kehidupan mereka.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Berkongsi tentang anak anda di media sosial secara berlebihan boleh membawa kesan negatif kepada kehidupan mereka.

Itulah mesej yang digarap daripada Seminar Keibubapaan 2017, anjuran MUIS pada Sabtu (21 Okt), yang bertajuk 'Sharenting': Bagaimana media sosial menjejas cara keibubapaan'.

Ia bertujuan memberi kesedaran kepada ibu bapa tentang kesan berkongsi dengan berlebihan mengenai anak mereka di media sosial.

BILAKAH IA MENJADI 'SHARENTING'?

Berkongsi setiap detik kejayaan dan kenangan manis anak-anak kita di media sosial sememangnya sesuatu perkara yang lazim pada masa kini.

Namun, bilakah agaknya ia dianggap sebagai 'Sharenting' - iaitu satu istilah bagi mengungkapkan ibu bapa yang terlalu banyak mengongsikan gambar atau maklumat anak mereka di media sosial.

Apakah kesan sebenar 'Sharenting'? Itulah antara topik perbincangan dalam seminar keibubapaan ini yang diadakan baru-baru ini.

"Saya rasa salah satu kesannya adalah sebab ibu bapa apabila mereka berkongsi terlalu banyak maklumat tentang anak-anak, mereka sebenarnya telahpun membuat 'identiti online' iaitu identiti yang akan membuat anak-anak berfikir bahawa itu adalah imej mereka yang sebenarnya.

"Kesannya itu akan membuat anak-anak kadangkala jika mereka mempunyai anggapan bahawa inilah identiti mereka sebenar atau inilah identiti yang mereka perlu tonjolkan kepada pembaca atau orang ramai, itu bakal menjejas atau mungkin menimbulkan isu-isu yakin diri misalnya atau kompleks rendah diri," kata ketua pelatih ARK EduFrontier, Cik Nafisah Suheimi.

PERTIMBANGAN SEBELUM MUAT NAIK GAMBAR, MAKLUMAT ANAK KE INTERNET

Kesan-kesan dikongsi Cik Nafisah itu membuat sebilangan peserta berpendapat para ibu bapa yang berkongsi berlebihan sebenarnya meletakkan anak mereka berisiko terdedah kepada pelbagai bahaya. Ini bukan saja pada jangka masa pendek tetapi juga pada jangka masa panjang.

Jadi apakah batas-batasnya sebelum ibu bapa dianggap sebagai 'sharenting'?

Serta, apakah langkah-langkah yang harus dipertimbangkan sebelum memuat naik gambar atau maklumat anak-anak?

"Saya harus tekankan bahawa kita harus ingat apa saja yang kita kongsikan di media sosial ia adalah buat selama-lamanya.

"Jadi kalau kita tidak mahu perkara itu datang balik kepada kita, sebelum kita tekan butang 'share' kita fikirlah adakah perlu untuk berkongsi kerana kita tidak mahu satu masa nanti anak kita akan datang kepada kita dan tunjukkan 'Inikah yang kita kongsikan kepada dunia tentang saya?'. Jadi berhati-hatilah dalam berkongsi," jelas Ustazah Nazeerah Shaik Alwie, anggota panel seminar itu.

PESERTA: 'AKAN PADAM' BEBERAPA POST TENTANG ANAK

Setelah mendengar pelbagai nasihat yang diberikan pakar-pakar, para peserta akur bahawa mereka kini lebih jelas dengan gejala tersebut.

Salah seorang daripada mereka, Cik Sharifah Syahila Syed Salleh berkongsi "Saya rasa saya akan memadamkan beberapa 'post' tentang anak saya selepas ini."

Selain itu, Cik Danial Arsad pula berkata "Sebagai ibu bapa, kita harus peka dan prihatin dengan anak-anak kita menggunakan peralatan elektronik di platform media sosial."

Sesi itu dihadiri 100 peserta dari pelbagai lapisan usia.
 

Sumber : BERITA Mediacorp/RU/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan