Images
  • Jamiyah

Jamiyah lancar pusat khidmat sehenti di West Coast tawarkan pelbagai program untuk belia

SINGAPURA: Dalam usaha untuk lebih memenuhi keperluan masyarakat kawasan barat, Jamiyah melancarkan sebuah pusat khidmat sehenti di kawasan West Coast hari ini (1O Sep).

Pusat baru yang tertumpu kepada belia itu antaranya menyediakan program kaunseling, kesihatan, tuisyen dan celik huruf.

Inisiatif tersebut dialu-alukan Menteri Perdagangan dan Perusahaan S Iswaran, yang juga merupakan Anggota Parlimen GRC West Coast.

BUKAN SEKADAR MOTIVASI TAPI BERI KEMAHIRAN, STRATEGI

Dipanggil Jamiyah@West Coast, pelbagai khidmat yang ditawarkan di sini dibangunkan dengan kerjasama beberapa badan lain.

Ini termasuk Politeknik Ngee Ann yang akan mendedahkan para belia kepada asas kemahiran elektronik dan robotik.

Para belia juga boleh menyertai program pembangunan perwatakan yang ditawarkan oleh The Green Apple Project.

"Bukan sekadar motivasi tetapi memberikan kemahiran dan strategi untuk mereka menggunakan kemahiran dan strategi ini untuk memdapatkan keyakinan dan kejayaan mereka, di masa yang dekat, itulah penglibatan kita untuk memberikan bimbingan untuk anak-anak remaja ini," kata Pengarah The Green Apple Project, Syed Jailani.

"Kami harap dapat menarik golongan belia, golongan orang dewasa dan juga keluarga dan ini juga berdasarkan maklum balas yang kami terima. Program-program ini haruslah program-program yang terkini," menurut Naib Presiden 3 Jamiyah, Dr Isa Hassan.

TURUT JADI PUSAT AGIHAN, PENGUMPULAN MAKANAN

Misalnya, Jamiyah juga akan menubuhkan Kelab Toastmasters Melayu yang pertama.

Menteri Perdagangan dan Perusahaan (Industri) S Iswaran menyambut baik usaha Jamiyah untuk meningkatkan taraf kehidupan para penduduk di kawasan West Coast dan Singapura umumnya.

"Semua kemudahan boleh didapatkan di satu tempat - ini adalah satu khidmat yang baik untuk penduduk sebab mereka boleh datang sini dapat nasihat ke mana untuk pergi untuk mendapatkan khidmat itu dan ini akan memberi manfaat untuk semua penduduk dan juga untuk masyarakat kami," kata Encik S Iswaran.

Selain inisiatif untuk para belia, ia juga menjadi pusat agihan dan pengumpulan makanan bagi bank makanan Jamiyah.  

- BERITAMediacorp/EM/nk

Top