Images
  • jamiyah bagi daging
    (Gambar: Mediacorp)

Jamiyah agih 3,000 kilo daging untuk 1,000 keluarga sambut Hari Raya

SINGAPURA: Bagi segolongan anggota masyarakat, sebungkus daging sudah cukup bermakna untuk membawa sinar harapan bagi menyambut 1 Syawal.

Jamiyah Singapura mengagihkan lebih 3,000 kilogram daging tahun ini, kepada 1,000 penerima yang memerlukan bagi melengkapkan sajian Raya mereka.

Acara pengagihan daging yang diadakan di Kelab Masyarakat Woodlands pada Selasa (12 Jun) itu diserikan dengan kehadiran Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan merangkap Dalam Negeri, Encik Amrin Amin.

Inisiatif ini menurutnya memberi seribu pengertian dan bermakna bukan sahaja kepada penerima bantuan tetapi juga membudayakan amalan bersedekah di kalangan masyarakat.

Mentelah lagi, daging-daging ini juga diagihkan kepada golongan memerlukan yang berlainan kaum dan agama.

Dijalankan buat tahun kedua, Jamiyah kali ini menziarahi rumah beberapa penerima untuk mengagihkan daging sehingga 3kg serta baucar bernilai $100.

Naib-presiden Jamiyah Dr Isa Hassan berkata: "Dalam hari yang bahagia ini, keluarga-keluarga yang berpendapatan rendah dapat sama-sama menjamah daging dengan masakan-masakan yang mereka dapat hidangkan pada hari tersebut dan bukan sahaja pada keluarga yang berkemampuan, pada hari itu saya fikir semua keluarga harus dan sama-sama bergembira."

Bagi Cik Habshah Attan, seorang ibu tunggal dengan dua orang anak, sumbangan ini membantu beliau membuat serba-sedikit persiapan bagi menggembirakan hati anak-anaknya.

"Bantuan yang dihulurkan kepada cik sekeluarga adalah catuan makanan jadi setidak-tidaknya dapat mengurangkan beban cik dengan anak-anak sebab anak-anak cik masih belum lepas bekerja lagi, mereka masih sekolah," kongsi CIk Habshah.

Persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri bagi Syed Rosli dan isteri juga lebih lengkap dengan sumbangan dari Jamiyah ini.

Sedikit sebanyak sumbangan baucar dan daging ini dapat membantu meringankan beban kewangan bagi Syed Rosli yang sudah menghidap penyakit Parkinson's selama 18 tahun. 

- BERITAMediacorp/tq

Top