Images
  • punggol link road
    Jalan yang menghubungkan Punggol Central dengan KPE, TPE. (Gambar: LTA)

Jalan penghubung baru Punggol dibuka setahun lebih awal

SINGAPURA: Mulai 25 November, para pemandu di Punggol boleh menggunakan jalan penghubung (link road) yang menghubungkan Punggol Central dengan Ekspreswe Kallang-Paya Lebar (KPE) dan Ekspreswe Tampines (TPE).

Demikian diumumkan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) hari ini (8 Nov).

Jalan penghubung baru itu - yang merupakan sebahagian daripada dua fasa peluasan persimpangan KPE/TPE - akan dibuka setahun lebih awal daripada yang dijadualkan, dan bertujuan menyediakan laluan alternatif antara Punggol Central, KPE dengan TPE (PIE).

Apabila ia dibuka kelak, para pemandu boleh menggunakan jalan dua hala berkenaan melalui jalan raya antara Punggol Central dengan KPE dan laluan sehala yang menghubungkan Punggol Central dengan TPE (PIE), menurut LTA.

Para pemandu dari arah KPE (TPE) juga boleh menggunakan laluan untuk terus ke Punggol Central tanpa melalui TPE (SLE) dan Punggol Road.


(Gambar: LTA)

Dalam pada itu, jalan-jalan susur sedia ada di kawasan itu akan ditutup bermula tarikh yang sama, pada jam 4.00 petang.

Jalan-jalan susur yang terjejas adalah:

  • Jalan raya yang menghubungkan Punggol East dengan KPE (ECP)
  • Sebahagian jalan TPE (Exit 7) menuju Lorong Halus dan
  • Jalan susur dari jalan keluar KPE (TPE) menuju Lorong Halus

Di samping itu, fasa pertama projek peluasan persimpangan dijangka selesai sepenuhnya menjelang suku kedua 2019, lebih awal daripada yang dijangkakan iaitu pada suku ketiga tahun depan. 

Fasa ini melibatkan pembinaan jalan raya, tiga jambatan kenderaan di Sungei Serangoon dan Sungei Blukar, satu jejambat rentas TPE dan tanjakan-tanjakan baru di TPE dan KPE, jalan baru dari Lorong Halus ke Pasir Ris Industrial Drive 1 dan kerja-kerja tanjakan berkaitan serta saliran.

Fasa kedua, yang akan menyaksikan pembinaan jambatan di Sungei Serangoon, jejambat baru di TPE dan KPE, jalan baru dari Lorong Halus ke Pasir Ris Industrial Drive 1 dan kerja-kerja saliran berkaitan, dijangka selesai dijalankan menjelang suku kedua 2021.

Menurut LTA, penggunaan teknologi baru membantu mempercepatkan proses pembinaan jalan penghubung baru itu. 

- CNA/AQ/aq

Top