Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Iswaran: Industri pelancongan boleh manfaatkan teknologi lebih baik untuk berkembang

Teknologi boleh digunakan untuk menajamkan lagi usaha pemasaran dan perhubungan, memberikan nafas baru kepada tawaran pelancongan dan meningkatkan lagi daya penghasilan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 17 Apr 2018 05:45PM Dikemas Kini : 17 Apr 2018 11:50PM

SINGAPURA: Perusahaan pelancongan di Singapura boleh memanfaatkan teknologi dengan lebih baik lagi untuk memacu mutu pertumbuhan, kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan (Perusahaan) S Iswaran semasa Persidangan Industri Pelancongan pagi tadi (17 Apr).

Beliau menarik perhatian bahawa teknologi boleh digunakan untuk menajamkan lagi usaha pemasaran dan perhubungan, memberikan nafas baru kepada tawaran pelancongan dan meningkatkan lagi daya penghasilan.

Lembaga Pelancongan Singapura mengumumkan pada Februari lalu bahawa jumlah kedatangan pelancong dan nilai pendapatan pelancongan bagi tahun 2017 mencatat rekod tinggi buat kali kedua dalam masa dua tahun.

Jumlah kedatangan pelancong ke Singapura naik sebanyak 6.2 peratus kepada 17.4 juta, dengan tujuh daripada 15 pasaran tertinggi - China, India, Vietnam, Filipina, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Jerman - turut menyaksikan jumlah kedatangan tertinggi.

Sungguhpun demikian, Encik Iswaran menekankan bahawa pertumbuhan baik industri pelancongan Singapura tidak boleh diambil sambil lewa, disebabkan sentimen perlindungan perdagangan yang mungkin menghambat pertumbuhan ekonomi dunia.

Beliau menambah ini boleh menjejas pelancongan, menunjukkan betapa industri pelancongan Singapura terdedah kepada perubahan dalam ekonomi sejagat.

"Para pelancong juga lebih memilih, ingin mencari destinasi baru dan pengalaman yang berbeza ke mana sahaja mereka pergi," tambah beliau.

Hab Perkhidmatan dan Maklumat Pelancongan (TIH), merupakan cara penting di mana teknologi digunakan dalam sektor ini, menurut ketua pegawai eksekutif STB Lionel Yeo semasa persidangan tersebut.

Beliau menjelaskan lagi bahawa TIH merupakan sumber sehenti, yang boleh diakses secara percuma, untuk tahu lebih lanjut apa yang berlaku di Singapura, jejak laluan tempat-tempat menarik dan potongan harga terkini.

Mengulas teknologi TIH itu, Encik Iswaran menggalak pihak-pihak berkepentingan dalam sektor pelancongan Singapura supaya berkongsi dan menyumbangkan data menerusi platform tersebut, bagi mendapatkan pemahaman lebih baik tentang tabiat pelancong dan keinginan mereka.

Beliau turut memuji acara jejak warisan "Find Your Place in History"', yang memberi peluang kepada orang ramai mengikuti laluan berjalan kaki dengan beberapa seni pemasangan di beberapa tapak bersejarah seperti Telok Ayer.

Laluan itu akan dilancarkan tahun depan bersempena ulang tahun ke-200 Singapura.

Encik Iswaran juga menarik perhatian jejak warisan tersebut merupakan satu contoh di mana penggunaan teknologi membolehkan para pelancong untuk menikmati pengalaman sejarah Singapura dengan cara interaktif.  

Sumber : CNA/FA/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan