Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Isu Kita: Singkap beberapa berita gembira untuk masyarakat Melayu/Islam yang diumumkan Parlimen

"Isu Kita" minggu ini, kita singkap beberapa berita gembira untuk masyarakat Melayu/Islam yang diumumkan oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Yaacob Ibrahim tempoh hari.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dalam "Isu Kita" minggu ini, kita singkap beberapa berita gembira untuk masyarakat Melayu/Islam yang diumumkan oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Yaacob Ibrahim tempoh hari.

Antaranya - pemansuhan yuran peperiksaan nasional untuk pelajar madrasah.

Para mudir madrasah yang ditemui berpendapat ia dapat meringankan beban ibu bapa yang sebelum ini perlu membayar yuran yang lebih mahal berbanding pelajar di sekolah aliran utama.

Selain aspek pendidikan, lebih banyak sokongan sosial juga akan diberikan kepada pasangan yang sudah berumahtangga.  

Dalam ucapannya di Parlimen Khamis lalu, Dr Yaacob mengumumkan bahawa para pelajar madrasah tidak perlu membayar yuran peperiksaan nasional.

Seorang Mudirah, Ustazah Sukarti Asmoin dari Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah mengatakan, "Saya rasa itu satu perkara yang menguntungkan para pelajar kerana mereka yang memerlukan sangat bantuan ini kerana yuran peperiksaan di madrasah ini macam dua kali lipat. Kalau PSLE pun pelajar kami bayar seorang $40 lebih. Kemudian bagi peringkat GCE 'O', ada yang kena sampai $780 kerana mereka mengambil sembilan mata pelajaran. Bagi mereka yang ambil peringkat GCE 'A' demikian juga."

Mudir Madrasah Al-Arabiah, Herman Cher Ma'in pula berpendapat ia dapat meringankan beban ibu bapa kepada para pelajar madrasah, "Selain daripada yuran peperiksaan, yuran sekolah juga agak tinggi. Jadi, dengan adanya pengecualian, pemansuhan, kurang sikit para ibu bapa membayar kos pendidikan anak-anak mereka dan menggunakan kos itu untuk menaikkan taraf pendidikan anak-anak mereka menerusi program di luar sana."

Menurut Encik Herman, langkah itu juga menunjukkan sikap inklusif pemerintah.

Sebelum ini, hanya pelajar dari sekolah aliran utama yang tidak perlu membayar yuran peperiksaaan nasional.

Menurut Dr Yaacob, Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) akan membantu MUIS agar pelajar madrasah juga tidak perlu membayar yuran peperiksaan nasional.

Dalam ucapannya juga, Dr Yaacob turut mendedahkan bahawa Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) akan melipatgandakan sokongan bagi pasangan-pasangan termasuk mereka yang berada dalam fasa 10 tahun pertama perkahwinan.

Ini dengan membangunkan rangka kerja Program Pengayaan Rumahtangga Cinta Abadi.

Pembangunan rangka kerja Program itu akan dilaksanakan tahun ini.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ag
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan