Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Istana anjur pelbagai acara jelang ulang tahunnya ke-150 tahun depan

Istana akan dibuka kepada orang ramai buat pertama kalinya pada waktu malam pada hari Ahad, pada hujung minggu ulang tahunnya ke-150 tahun depan. Acara kemuncak iaitu Rumah Terbuka Istana 150 juga akan berlangsung pada hari tersebut, pada 6 Oktober 2019.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Istana akan dibuka kepada orang ramai buat pertama kalinya pada waktu malam pada hari Ahad, pada hujung minggu ulang tahunnya ke-150 tahun depan. Acara kemuncak iaitu Rumah Terbuka Istana 150 juga akan berlangsung pada hari tersebut, pada 6 Oktober 2019.

Demikian menurut Presiden Halimah Yacob yang mengumumkan demikian di Rumah Terbuka Istana sempena perayaan Deepavali hari ini (6 Nov).

"Kita tidak pernah membuka Istana kepada rakyat Singapura pada waktu malam. Jadi itu adalah sesuatu yang amat khas. Saya berharap ramai yang akan datang dan mengambil bahagian, melawat Istana pada 6 Oktober 2019 iaitu pada waktu malam," kata beliau.

Puan Halimah juga mendedahkan logo "Istana 150", yang dihasilkan pelajar 18 tahun dari SOTA Charlie Chua.

Logo berkenaan juga satu-satunya yang dipilih daripada lebih 100 penyertaan bagi Peraduan Logo Istana 150 sejak dua bulan lalu.

Puan Halimah turut menyenaraikan siri acara kegiatan bagi memperingati hari bersejarah itu tahun depan. Ini termasuk pameran bergerak mengenai Istana, yang akan dibawa ke merata Singapura, termasuk perpustakaan-perpustakaan daerah, bagi mendekatkan sejarah dan warisan Istana dengan rakyat Singapura.

Pejabat Presiden juga akan melancarkan jelajah berbilang media mengenai Istana dan bangunan-bangunannya, yang akan memberi peluang kepada rakyat Singapura 'meneroka' tapak Istana.

Logo Istana 150

BUKU, CENDERAHATI BAKAL DILANCAR

Siri buku termasuk buku kanak-kanak dan cenderamata bagi memperingati ulang tahun tersebut akan turut dilancarkan sepanjang tahun depan.

Semua hasil kutipan akan disalurkan kepada badan amal menerusi Cabaran Presiden.

"Kita lakukan semua ini adalah kerana kita rasa bahawa adalah penting rakyat Singapura memahami tentang sejarah kita. Ini adalah satu masa di mana kita dapat fikir tentang sejarah kita, bagaimana kita dapat lebih mempereratkan hubungan antara kiota sesama sendiri di Singapura dan melakarkan masa depan yang lebih baik," jelas Puan Halimah.
Pejabat Presiden juga akan bekerjasama dengan pertubuhan awam dan swasta lain, serta pertubuhan kebajikan sukarela (VWO) dan golongan berkeperluan khas dalam semua kegiatan bagi memperingati tahun bersejarah itu.

Dalam wawancara selepas mendedahkan logo "Istana 150", Puan Halimah berkata Istana 150 akan menjadi "peluang berguna bagi kami mengenang sejarah kami sebagai sebuah negara dan nilai yang sudah memberi panduan kepada kami setakat ini".

"Istana sudah sama-sama menempuh perjalanan dengan rakyat Singapura sejak 150 tahun lalu, sekali gus menjadi sebahagian penting daripada kenangan dan identiti kolektif kami. Penting bagi kita melihat sambutan memperingati ulang tahun ini sebagai acara untuk menggali warisan sebagai sebuah negara, kerana bagaimana kita sampai pada kedudukan kita hari ini, akan membentuk siapa diri kita pada hari mukia."

Puan Halimah juga berkongsi beliau mengalu-alukan pelibatan VWO dan golongan berkeperluan khas dalam acara-acara yang akan datang.

"Ramai dalam kalangan mereka, meskipun kurang upaya, mempunyai bakat yang besar. Saya harap Istana 150 juga dapat menjadi wadah bagi mereka mempamerkan kemahiran mereka, sama ada dalam kerja-kerja seni untuk ditampilkan dalam buku-buku Istana kami ataupun dalam bentuk persembahan di Rumah Terbuka Istana kami."

Rumah Terbuka sempena Deepavali hari ini menarik hampir 17,000 pengunjung, jumlah tertinggi sejak ia diadakan tujuh tahun lalu.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan