Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Iskandar Saat yang tembak Staf Sarjan Sadli di KTPH dipenjara seumur hidup, 18 kali rotan

Lelaki berusia 26 tahun dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 18 kali rotan hari ini (19 Mac) bagi kesalahan merampas pistol seorang pegawai polis dan melepaskan tembakan di Hospital Khoo Teck Puat ketika mencuba untuk melarikan diri.

Anggaran Waktu Membaca:
Iskandar Saat yang tembak Staf Sarjan Sadli di KTPH dipenjara seumur hidup, 18 kali rotan

Muhammad Iskandar Sa'at (berbaju putih) dituduh melepaskan tembakan senjata api secara haram. (Gambar: Calvin Oh)

Diterbitkan : 19 Mar 2018 08:01PM Dikemas Kini : 19 Mar 2018 10:06PM

SINGAPURA: Lelaki berusia 26 tahun dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 18 kali rotan hari ini (19 Mac) bagi kesalahan merampas pistol seorang pegawai polis dan melepaskan tembakan di Hospital Khoo Teck Puat ketika mencuba untuk melarikan diri.

Muhammad Iskandar Sa'at melepaskan tembakan sebanyak tiga kali pada 20 Jun 2015 ke atas Staf Sarjan (SSGT) Muhammad Sadli Razali, 33 tahun.

Pegawai polis berkenaan cedera di bahagian tangan kiri dan kaki kanan selepas terkena dua tembakan yang dilepaskan Iskandar. Staf Sarjan Sadli juga mengalami patah tulang dan kecederaan yang kekal sepanjang hayat. Iskandar memukul pegawai polis itu menggunakan batang besi dan belantan milik SSGT Sadli itu.

Serangan itu berlaku pada hari yang sama Iskandar, seorang penghantar barangan, didakwa kerana mencuri sebuah lori.

Dia didakwa pada waktu pagi dan ketika ditahan, dia mengadu sakit dada dan meminta bantuan perubatan. SSGT Sadli dan rakannya, Sarjan Muhammad Fairuz Sutrisno (27 tahun), kemudian membawa Iskandar ke Hospital Khoo Teck Puat.

Iskandar diikat di pergelangan tangan dan kakinya. Namun, ikatan tali di bahagian lengan kirinya dilonggarkan supaya doktor dapat mengambil darahnya.

SERANG SSGT SADLI BERTUBI-TUBI DI KEPALA DAN BADAN

Semasa dia ditinggalkan sendirian dengan Sarjan Fairuz, Iskandar mengadu bahawa ikatan di pergelangan tangan kanannya terlalu ketat. Pegawai polis itu pun melonggarkan ikatan tersebut.

Selain itu, Iskandar meminta untuk ke bilik air sekurang-kurang tujuh kali dalam masa kurang dua jam, dedah Timbalan Pendakwa Raya Kelly Ho. Setiap kali dia ke bilik air, SSGT Sadli akan mengiringinya.

Pada sekitar 6.55 petang, Sarjan Fairuz meninggalkan bilik yang dikhususkan untuk pesakit yang ditahan, untuk berbuka puasa. Iskandar mula memikirkan cara untuk melarikan diri ketika ditinggalkan sendirian bersama SSGT Sadli.

Apabila pegawai polis itu menggunakan telefon bimbitnya, Iskandar menyerangnya dengan menggunakan batang besi yang biasanya digunakan untuk menggantung ubat titisan intravena. Dia bertubi-tubi memukul pegawai itu di bahagian kepala dan badannya.

ACU PISTOL DAN TEMBAK PADA JARAK DEKAT

Semasa bergelut, Iskandar mengambil belantan milik SSGT Sadli yang terjatuh ke lantai untuk memukulnya lagi.

Rakaman CCTV yang dimainkan di mahkamah menunjukkan Iskandar cuba untuk melarikan diri. Namun, SSGT Sadli menahan kaki tahanan itu, walaupun terus dipukul Iskandar yang menggunakan belantannya.

Iskandar kemudian merampas pistol berisi peluru lalu mengacu pistol itu ke arahnya. SSGT Sadli bergelut dengan Iskandar dan menolaknya ke dalam bilik tersebut.

Pistol masih dalam genggaman Iskandar. Dua pegawai paramedik bergegas ke bilik tersebut untuk menahannya selepas SSGT Sadli berjaya menolaknya ke lantai. Pada waktu itulah, Iskandar melepaskan tembakan ke atas SSGT Sadli pada jarak dekat.

Menurut seorang pegawai paramedik, SSGT Sadli berada dalam keadaan separuh sedar pada masa itu, kata pendakwa kepada Mahkamah Tinggi.

Pasukan paramedik memekik untuk memina tolong. Tiga pegawai dan seorang doktor datang untuk membantu mereka. Doktor kemudian menyuntik dua dos ubat penenang supaya Iskandar berhenti meronta. Dia kemudian diangkat ke atas katil dan pergelangan tangannya diikat ke pagar katil.

"ISKANDAR TIDAK BERNIAT UNTUK MENCEDERAKAN SESIAPA"

Iskandar mengaku bersalah ke atas satu tuduhan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Bersenjata yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup.

Pendakwa raya menggesa supaya Mahkamah Tinggi menjatuhi hukuman rotan sebanyak 18 kali ke atas Iskandar.

Peguam bela Shashi Nathan, bagaimanapun, berhujah bahawa rotan antara 12 hingga 15 kali mencukupi. Niat Iskandar hanya untuk melarikan diri, kata Encik Nathan.

"Dia tidak berniat untuk mencederakan sesiapa. Dia hanya ingin melarikan diri," kata peguam itu kepada mahkamah yang turut menarik perhatian kepada usia Iskandar yang hanya berusia 24 tahun pada masa itu.

Iskandar juga ketagihan dadah heroin, kata peguam, dan mengambil dadah itu dengan menggunakan suntikan sebanyak antara tiga hingga empat kali sehari.

Pada masa kejadian, Iskandar tidak mengambil dadah dan dia kemudian berasa sakit di bahagian dada lalu meminta bantuan perubatan, kata Encik Nathan. Iskandar sangat menyesali perbuataannya, tambah beliau.  

Sumber : CNA/AQ/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan