Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Isa Kamari terima hadiah berprestij Anugerah Sastera MASTERA 2018

Penulis prolifik tempatan Isa Kamari diberikan pengiktirafan berprestij Anugerah Sastera MASTERA (Majlis Sastera Asia Tenggara) 2018.

Anggaran Waktu Membaca:
Isa Kamari terima hadiah berprestij Anugerah Sastera MASTERA 2018

Isa Kamari (Gambar: Majlis Bahasa Melayu Singapura)

BANDAR SERI BEGAWAN: Penulis prolifik tempatan Isa Kamari diberikan pengiktirafan berprestij Anugerah Sastera MASTERA (Majlis Sastera Asia Tenggara) 2018.

Anugerah tersebut diberikan kepada para tokoh sastera dari negara-negara MASTERA sebagai penghormatan dan penghargaan kepada para sasterawan yang menulis dalam Bahasa Melayu dan bergiat aktif dalam bidang sastera.

Dalam satu majlis penyampaian yang diadakan pada Jumaat (14 Sep) di Hotel Antarabangsa Rizqun, Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam, Encik Isa Kamari diiktiraf bersama tokoh-tokoh dari Indonesia, Malaysia dan Brunei Darussalam.

“Kami sangat berbangga dengan pencapaian Encik Isa Kamari. Beliau seorang penulis mapan, terkenal bukan sahaja di Singapura tapi juga di rantau ini. Karya-karya beliau dinamik dan mengetengahkan isu-isu kontemporari," kata Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim.

"Selain itu, beliau juga merupakan seorang penulis dwibahasa. Karya-karyanya juga sudah banyak diterjemahkan dalam bahasa Inggeris dan Mandarin, termasuk bahasa Turki dan Urdu dan ini merupakan sumbangan yang sangat berharga dalam mengantarabangsakan sastera Melayu Singapura.

"Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Encik Isa Kamari dan semoga anugerah ini menjadi pemangkin untuk meneruskan sumbangannya kepada arena Sastera tempatan dan antarabangsa,” tambah Dr Faishal lagi.

Penerima Anugerah Sastera Mastera (ASM) menerima sijil/plak pengiktirafan dan hadiah wang tunai BND$10,000 (S$10,000).

Cikgu Suratman Markasan sebelum ini menerima Anugerah tersebut pada tahun 2014.

Encik Isa Kamari, seorang penolong pengarah di Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 2009 menerima pengiktirafan Anugerah Persuratan, Anugerah Tun Seri Lanang.

Laman Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) menyebut beliau sebagai artis separuh masa pertama yang dianugerahi Pingat Budaya pada 2007. 

Sumber : BERITA Mediacorp/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan