Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

IRO, 15 badan agama kumpul lebih S$32,000 bantu mangsa gempa Lombok

Pertubuhan Antara Agama (IRO) dan 15 badan agama tempatan berganding bahu mengumpulkan lebih $32,000 bagi membantu mangsa gempa di Lombok dan Bali.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pertubuhan Antara Agama (IRO) dan 15 badan agama tempatan berganding bahu mengumpulkan lebih $32,000 bagi membantu mangsa gempa di Lombok dan Bali.

Wang itu diserahkan kepada Duta Besar Indonesia ke Singapura, Gede Ngurah Swajaya, pada Ahad(19 Ogos).

MALIKI OSMAN: USAHA MURNI CERMIN HUBUNGAN BAIK INDONESIA, S'PURA

Menteri Negara Kanan Ehwal Luar Dr Mohamad Maliki Osman memuji usaha murni itu yang mencerminkan semangat berjiran Singapura-Indonesia.

"Saya rasa apa yang kita lihat hari ini ialah semangat, satu semangat hubungan antara Singapura dan Indonesia. Kita adalah dua jiran yang sudah lama berhubungan dan apa yang dihadapi serta dialami oleh Indonesia baru-baru ini dengan gempa bumi yang berlaku di Lombok dan Bali, dirasai oleh rakyat Singapura," kata Dr Maliki.

Upacara khas hari ini juga bagi memperingati mangsa korban banjir di Kerala, India dan tragedi jejambat runtuh di Genoa, Itali.

PEMIMPIN AGAMA BERSATU BAGI TUJUAN YANG SATU

Dr Maliki turut menarik perhatian bagaimana usaha mengumpul derma tersebut mencerminkan kesatuan dan kerjasama baik badan-badan dan pemimpin silang agama, demi membantu mereka yang memerlukan.

"Kita lihat hari ini bagaimana para pemimpin berbilang agama di Singapura mengumpul derma untuk para mangsa gempa bumi ini. Mereka juga duduk bersama, berdoa, berdoa untuk mereka yang telah meninggal, juga mereka yang masih hidup tetapi mengalami kemusnahan yang mereka lalui baru-baru ini.

"Kami harap dengan doa daripada para pemimpin ini, apa yang tinggal adalah semangat untuk mereka terus ke hadapan, membina sekali lagi kehidupan mereka," ujar Dr Maliki lagi.

Derma yang dikumpulkan dalam jangka masa yang singkat itu, juga bukti jalinan kukuh hubungan dan kesatuan badan-badan agama dalam menyumbang kepada usaha kemanusiaan di dalam mahupun luar negara.

"Ini sebagai satu simbolik bagi kita untuk menunjukkan yang kita bersatu, dan Alhamdulillah, kita dapat kumpulkan lebih S$30,000, yang terbesar daripada Buddhist Lodge yang memberi S$10,000.

"Hampir semua persatuan, badan agama di dalam IRO memberikan sumbangannya," kongsi Habib Hassan Al-attas, Imam Masjid Ba'alwie.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan