Images
  • tampines caltex
    Petikan gambar Google Street View. 

Insiden stesen minyak Caltex satu 'salah faham', dedah polis; pemandu BMW buat aduan polis

SINGAPURA: Insiden di stesen minyak Caltex yang melibatkan seorang pemandu BMW dan seorang atendan pam stesen minyak lanjut usia adalah "kes salah faham", menurut polis pada Isnin (16 Apr).

Pihaknya juga menyatakan pemandu berkenaan sepatutnya menyerahkan keretanya dalam proses jual beli pada Sabtu, dan tidak memerlukan jumlah minyak berlebihan.

"Kami sudah menyiasat isu tersebut dan memutuskan tiada kesalahan yang berlaku," menurut polis sebagai memberi respons kepada pertanyaan Mediacorp.

"Ini adalah kes salah faham antara atendan pam dan pemilik kenderaan mengenai jumlah petrol yang harus diisi. Kami mengesahkan pemilik kenderaan sepatutnya menyerahkan keretanya dalam proses jual beli pada hari yang sama dan tidak memerlukan jumlah minyak berlebihan.

"Kedua-dua pihak dinasihati agar menyelesaikan isu itu secara damai."

Bagaimanapun, pemandu BMW tersebut sudah memfailkan aduan polis kerana bimbang akan keselamatannya selepas pengguna media sosial mengenal pasti dirinya dan memuat naik butiran peribadinya secara online.

Insiden berkenaan menjadi tular hujung minggu lalu selepas pengguna Facebook Kelly Yeo memuat naik urutan kejadian di stesen minyak Tampines Avenue 8. Menurutnya, pemandu kereta BMW Siri 5 itu enggan membayar harga petrol S$135 kerana beliau berkata beliau hanya meminta nilai S$10.

Atendan pam warga emas itu dengan tenang memaklumkan kepada juruwang tersebut untuk membenarkan pelanggan itu membayar S$10 dan beliau akan membayar baki kos S$125, katanya di laman Facebook.

Ramai pengguna media sosial mengutuk pemandu itu, dengan sebilangannya secara sukarela mahu membayar S$125 bagi pihak pekerja lanjut usia tersebut. Pengguna lain turut mempersoalkan mengapa pemandu berkenaan hanya mengisi minyak bernilai S$10.

Menurut laporan Shin Min Daily News, pemandu berkenaan berkata beliau benar-benar ke sana untuk mengisi minyak bernilai S$10 kerana perjalanan dari Tampines ke Jurong, di mana beliau mahu menyerahkan keretanya untuk proses jual beli, adalah "agak jauh".

Beliau memberitahu Straits Times bahawa selepas membaca beberapa komen tentang insiden berkenaan, beliau memutuskan untuk memfailkan aduan polis kerana "takut orang-orang ini akan datang ke rumah saya". Pemandu berkenaan juga dipetik sebagai berkata beliau menerima "banyak panggilan gangguan, kiriman SMS dan kiriman WhatsApp".

Awal dari itu, Caltex Singapore menulis di laman Facebook bagi memberi jaminan kepada pengguna online bahawa atendan pam lanjut usia itu "tidak menanggung sebarang tuntutan kewangan" disebabkan insiden itu.

Dalam kemas kini pada Isnin, syarikat berkenaan menyatakan pihaknya maklum aduan polis sudahpun dibuat.

"Ini kini menjadi isu polis dan kami akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dari sudut itu," menurut Caltex.

"Sehubungan itu, kami meminta dengan hormat kerjasama masyarakat untuk mengelak dari memberikan sebarang respons peribadi atau secara berkumpulan terhadap mereka yang terlibat dan membiarkan isu itu kepada pihak berkuasa yang sewajarnya."

- CNA/IM/im

Top