Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

IMDA arah States Times Review turunkan rencananya

Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) sudah mengarahkan States Times Review supaya menurunkan satu rencana, yang menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS) adalah tidak berasas dan berunsur fitnah.

Anggaran Waktu Membaca:
IMDA arah States Times Review turunkan rencananya

(Gambar fail: Olivia Harris/Reuters)

Diterbitkan : 09 Nov 2018 06:44PM Dikemas Kini : 09 Nov 2018 06:48PM

SINGAPURA: Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) sudah mengarahkan States Times Review supaya menurunkan satu rencana, yang menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS) adalah tidak berasas dan berunsur fitnah.

Jika laman berita alternatif itu gagal menurunkan rencana tersebut sebelum pukul 5.00 petang pada Jumaat (9 Nov), IMDA akan mengarahkan Penyedia Khidmat Internet supaya menyekat akses ke laman itu. Demikian menurut IMDA dalam kenyataannya.

IMDA merujuk kepada rencana bertajuk "Lee Hsien Loong sasaran utama siasatan 1MDB" yang diterbitkan di laman itu pada Isnin (5 Nov).

Rencana itu mendakwa bahawa Malaysia sudah memeterai beberapa perjanjian tidak adil dengan Singapura bagi mendapatkan bantuan bank-bank negara ini untuk mengubah wang dari dana negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sehingga pukul 4.00 petang tadi, Mediacorp mendapati bahawa kedua-dua rencana dan catatan di laman Facebooknya belum lagi diturunkan.

DAKWAAN "SALAH", MENURUT SUMBER YANG DITUKIL DALAM RENCANA

Rencana States Times Review itu juga mendakwa bahawa editor Sarawak Report, Clare Rewcastle, sebelum ini mendedahkan dalam wawancara bersama media Malaysia bahawa "Singapura adalah salah satu sasaran utama dalam siasatan terhadap skandal 1MDB, selain Switzerland dan Amerika Syarikat".

Memberikan respons kepada dakwaan itu semalam (8 Nov), Sarawak Report menegaskan bahawa rencana itu adalah "salah" dan tidak menyokong dakwaan States Times Review itu. Ia juga meminta States Times Review supaya memperbetulkan rencana tersebut.

EDITOR STATES TIMES REVIEW CABAR TUNTUTAN MAHKAMAH

Menulis di laman Facebook States Times Review hari ini, editornya Alex Tan mengatakan bahawa beliau "mengalu-alukan saman fitnah" daripada Perdana Menteri Lee Hsien Loong di mahkamah Australia.

"Jika Perdana Menteri Singapura merasakan dirinya tidak bersalah atas dakwaan-dakwaan tersebut, beliau seharusnya mengambil tindakan guaman dengan segera," kata Encik Tan.

"STR percaya pada laporan yang tepat dan bebas dan oleh itu, jika Perdana Menteri itu boleh memberikan penjelasan yang sewajarnya terhadap 'berita palsu' ini ... Saya bersedia pulang ke Singapura dan menyerah diri kepada pihak polis Singapura," tambah beliau.  

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan