Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Identiti S'pura 'sangat penting' dalam keadaan baru global, kata Indranee

Persoalan tentang identiti Singapura "sangat penting" dengan kemunculan keadaan baru global, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri Indranee Rajah di parlimen pada Jumaat (18 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 18 May 2018 06:07PM Dikemas Kini : 18 May 2018 10:34PM

SINGAPURA: Persoalan tentang identiti Singapura "sangat penting" dengan kemunculan keadaan baru global, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri Indranee Rajah di parlimen pada Jumaat (18 Mei).

Beliau turut merujuk kepada perubahan global, yang termasuk kebangkitan China, "penelitian semula" Amerika dan perubahan politik di Malaysia.

Beliau juga menyentuh tentang peralihan ekonomi, seperti bagaimana teknologi menjejas pekerjaan lama dan mewujudkan yang baru, serta isu sosial seperti ketidaksamarataan pendapatan dan bilangan penduduk yang kian menua.

Memberikan respons kepada ucapan Presiden, Cik Indranee, yang juga Menteri Kedua Kewangan, Pendidikan merangkap Undang-Undang, berkata bahawa keupayaan Singapura menangani cabaran ini di sekeliling dunia mencerminkan "jati diri kita yang sebenar".

"Adakah kami, generasi rakyat Singapura sekarang, memiliki daya untuk menangani cabaran ini dan berjaya mengatasinya untuk terus maju? Semasa perubahan seperti ini, apa yang menjadi tunggak kekuatan kita? Siapa diri kita dan apa pendirian kita? Masa depan yang bagaimana yang kita mahukan untuk diri kita?" kata beliau.

Cik Indranee kemudian menekankan nilai dan ciri utama yang membentuk identiti Singapura.

Beliau pertama sekali menyentuh tentang usaha Singapura mengejar kecemerlangan dan kejayaan luar biasa, terutama sekali dengan saiz kecil serta ketandusan sumber semula jadi.

"Jika kita mahu sesiapa sahaja memberi perhatian kepada kita, jika kita mahu menempah tempat di peringkat antarabangsa, jika kita mahu mengukuhkan kedudukan di persada dunia, kita harus menjadi lebih baik daripada setakat bagus sahaja," kata Cik Indranee.

Beliau juga merujuk kepada bagaimana negara ini cemerlang sebagai sebuah hab penerbangan, dengan Lapangan Terbang Changi dipilih sebagai yang terbaik di dunia bagi enam tahun berturut-turut dan Singapore Airlines diberikan anugerah syarikat penerbangan nombor satu di dunia oleh Tripadvisor.

Cik Indranee juga menekankan bagaimana Singapura turut cemerlang dalam bidang muzik dan sukan, sambil merujuk kepada bagaimana ia berjaya melahirkan kanak-kanak dengan kebolehan luar biasa seperti pemain biola Chloe Chua berusia 11 tahun dan perenang Joseph Schooling yang memenangi pingat emas Olimpik yang pertama buat Singapura.

"RAKYAT SINGAPURA PRIHATIN ORANGNYA"

Bagaimanapun Cik Indranee menekankan menjadi rakyat Singapura "bukan setakat pencapaian sahaja", dan bahawa kejayaan itu semua adalah "manifestasi sesuatu yang lebih mendalam dan lebih asas".

"Yang paling penting, untuk menjadi rakyat Singapura perlulah bersikap peduli... tentang keluarga, tentang orang lain, tentang negara," katanya.

Beliau juga berkata perbahasan ucapan presiden turut menyentuh pelbagai masalah seperti mobiliti sosial, ketidaksamarataan dan kekurangan pergaulan sosial tetapi "isu sebenar yang perlu diberi perhatian adalah kami mengambil berat bahawa ia semakin menjadi suatu masalah dan kami bertekad melakukan sesuatu tentangnya".

"Itulah intipati menjadi seorang rakyat Singapura. Kami cukup mengambil berat untuk mahu melakukan sesuatu. Jika sesuatu itu tidak betul, naluri pertama kita adalah untuk membantu, membaiki, memperbaiki keadaan," jelasnya.

Cik Indranee turut berkata rakyat Singapura mencintai alam sekitar dan sekitaran di sekelilingnya, sambil menekankan bagaimana negara ini sudah menjadi "Bandar dalam Taman" dengan ruang hijau seperti tapak warisan dunia UNESCO Kebun Bunga Singapura, Taman di Pesisiran dan 'Rainforest Park' yang akan dibina di Mandai.

Beliau juga menekankan bagaimana rakyat Singapura sayang kepada haiwan, dan merujuk kepada bagaimana laman Facebook Campus Creatures memaparkan haiwan di pekarangan sekolah, maktab rendah, politeknik dan universiti sudah meraih populariti.

Cik Indranee juga bercakap tentang bagaimana makanan menjadi ciri penting dalam identiti Singapura.

Bagi menggambarkannya, Cik Indranee merujuk kepada perusahaan berjaya seperti Windowsill Pies, yang ditubuhkan adik-beradik Jonathan dan Sean Gwee serta kulit ikan dan kerepek kuning telur asin oleh rakyat Singapura Jonathan Shen dan Christopher Hwang.

Bagaimanapun, Cik Indranee turut berkata rakyat Singapura "tidak sempurna" dan bahawa beberapa ciri identiti Singapura juga berunsur negatif.

Beliau merujuk tentang bagaimana rakyat Singapura "banyak merungut", kiasu, tidak sabar dan kadangkala tidak bertimbang rasa dan mementingkan diri sendiri.

Meskipun begitu, Cik Indranee mengekalkan pendapat ciri-ciri positif identiti Singapura jauh mengatasi ciri negatifnya.

Sambil merumuskan ucapannya, Cik Indranee menggesa golongan muda rakyat Singapura supaya membuka lembaran baru bagi kisah Singapura.

Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan