Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hukuman pencegahan, termasuk tahanan, bagi pegawai yang terlibat dengan 'ragging'

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan pihaknya mengeluarkan hukuman "pencegahan" seperti tahanan bagi perbuatan mendera untuk bersuka-suka atau "ragging", sambil mendedahkan ia maklum akan pelaksanaan kegiatan sedemikian dalam pasukan tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Hukuman pencegahan, termasuk tahanan, bagi pegawai yang terlibat dengan 'ragging'

(Gambar: Nevin Jacob)

Diterbitkan : 15 May 2018 10:45PM Dikemas Kini : 15 May 2018 10:57PM

SINGAPURA: Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan pihaknya mengeluarkan hukuman "pencegahan" seperti tahanan bagi perbuatan mendera untuk bersuka-suka atau "ragging", sambil mendedahkan ia maklum akan pelaksanaan kegiatan sedemikian dalam pasukan tersebut.

"SCDF mengambil dasar toleransi sifar terhadap kegiatan tidak diluluskan seperti "ragging", dan akan terus menguatkuasakan langkah pencegahan terhadap kegiatan sedemikian," menurutnya.

Kenyataan SCDF menyusuli laporan Channel NewsAsia yang membongkar pelbagai kegiatan mendera untuk bersuka-suka yang dilakukan anggota Perkhidmatan Negara (NS) SCDF bagi menandakan peristiwan seperti sudah mencapai tarikh bersedia beroperasi (ORD) atau persaraan.

Pada 13 Mei, anggota Perkhidmatan Negara sepenuh masa SCDF Kok Yuen Chin meninggal dunia selepas ditemui terbujur kaku di bahagian bawah perigi pam balai bomba sedalam 12 meter. Beliau memasuki perigi berkenaan sebagai sebahagian daripada kegiatan untuk meraikan ORD yang bakal tiba.

SCDF turut menarik perhatian kepada lima kes kegiatan tidak diluluskan dari Mei 2010 hingga Ogos 2015 yang membawa kepada tahanan beberapa pegawai di dalam Berek Tahanan SCDF.

Mediacorp sudah menghubungi SCDF mengenai jumlah kes yang dilaporkan sejak beberapa tahun lalu.

Dalam kes Mei 2010, SCDF menyatakan pihaknya menjatuhkan hukuman tahanan terhadap tujuh pegawai, antara 15 hingga 23 hari, selepas dua pegawai baru dipaksa menjalani sesi permulaan di perigi pam balai bomba mereka.

"Mereka memasuki perigi itu, dan salah seorang daripada mereka melaporkan insiden tersebut kepada SCDF," dedahnya.

Dalam kes terbaru yang menarik perhatian pada Ogos 2015, empat pegawai dijatuhi hukuman tahanan 10 hari kerana menyembur cat putih pada dada, paha dan bahagian belakang seorang pegawai baru sebagai sebahagian daripada upacara 'penerimaan'.

Kes-kes lain termasuk menggunakan mop kotor untuk menggosok dan memukul kepala dan tubuh pegawai baru, dan meletakkan ubat gigi pada pegawai, yang bakal menamatkan perkhidmatan, yang sedang tidur, dedah SCDF.

Para pegawai itu sudahpun dikenakan tahanan antara tiga hingga 40 hari dalam contoh-contoh tersebut.

SCDF menyatakan pegawai dibenarkan membuat aduan tentang amalan salah kepada penyelia, komander unit, pengarah, pesuruhjaya dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri di bawah program membuat aduan.

"Taklimat berhubung kesedaran anti-'ragging' dilaksanakan bagi kesemua kakitangan selepas menyertai SCDF, selepas dihantar ke unit, dan dari semasa ke semasa," menurutnya.

"Bahan anti-'ragging' seperti video dan poster dihasilkan dan diagihkan bagi meningkatkan kesedaran pegawai terhadap dasar toleransi sifar SCDF terhadap kegiatan berkenaan."

Bagi anggota NSF yang melanggar peraturan, SCDF menyatakan perbuatan cuai akan dirakam dalam Sijil Perkhidmatan mereka.

"Pegawai yang menjalankan kegiatan 'ragging' boleh didakwa jika terdapat kesalahan jenayah," menurutnya.

Sumber : CNA/IM/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan