Images
  • noraidah
    Noraidah Mohd Yussof didapati bersalah mendera anak sendiri sehingga mati. (Gambar: Pasukan Polis Singapura)

Hukuman Noraidah Mohd Yussof yang dera anak hingga mati ditambah seganda; kini dipenjara 14.5 tahun

SINGAPURA: Mahkamah Tinggi Singapura hari ini (6 Jul) menambahkan dengan banyak hukuman penjara terhadap seorang ibu tunggal berusia 35 tahun, yang didapati bersalah mendera anaknya.

Tempoh hukuman penjara Noraidah Mohd Yussof, yang mendera anaknya, Airyl, 4 tahun, sehingga mati ditambahkan menjadi 14 setengah tahun. Dia sebelum ini dijatuhi hukuman penjara lapan tahun.

Dia menyerang anaknya berkali-kali sehingga anaknya meninggal dunia pada Ogos 2014 selepas Noraidah naik berang apabila anaknya tidak tahu menghitung sehingga nombor 18 dalam bahasa Melayu.

Dia membelasah anaknya, menolak kanak-kanak itu ke lantai dan memijak lutut budak itu.

Kemudian, dia menerkam leher budak lelaki itu, mengangkat dan menahannya pada bahagian tembok. Airyl jatuh ke lantai dan tidak boleh bergerak sama sekali.

Airyl kemudian dibawa ke hospital dan meninggal dunia empat hari kemudian pada 5 Ogos 2014 selepas keluarganya memilih untuk tidak terus menggunakan sistem alat bantuan pernafasan.

Pada Julai 2014, Noraidah menyerang anaknya kerana terkencing di lantai dan kerana tidak dapat membaca huruf. Dia juga berdiri di atas perut anak itu.

Hari ini, pihak pendakwa menggesa Mahkamah Rayuan - yang terdiri daripada Hakim Besar Sundaresh Menon dan Hakim Tay Yong Kwang dan Steven Chong - untuk menambahkan hukuman penjara Noraidah kepada sekurang-kurangnya 12 tahun.

- CNA/ru

Top