Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

HPB kesan percubaan ceroboh portal HealthHub; 72 akaun terjejas

Percubaan berkali-kali untuk log masuk secara haram ke portal Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) dikesan HealthHub sepanjang tempoh empat hari, dedah badan berkanun itu hari ini (18 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 18 Oct 2018 12:04PM Dikemas Kini : 18 Oct 2018 09:44PM

SINGAPURA: Percubaan berkali-kali untuk log masuk secara haram ke portal Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) dikesan HealthHub sepanjang tempoh empat hari, dedah badan berkanun itu hari ini (18 Okt).

HPB menyatakan ia menjalankan siasatan selepas menerima maklum balas daripada seorang pengguna yang mengesyaki akaun emelnya digunakan tanpa pengesahannya untuk log masuk portal berkenaan.

Ia mendapati, jumlah percubaan log masuk "lebih tinggi daripada biasa" pada empat hari - 28 Sep, 3 Okt, 8 Okt dan 9 Okt. Percubaan dilakukan menggunakan lebih 27,000 nama dan emel pengguna.

Meskipun 98 peratus alamat emel yang digunakan tidak berkaitan dengan akaun-akaun sedia ada HealthHub dan percubaan log masuk gagal, 72 akaun berhasil dicerobohi sepanjang tempoh berkenaan.

"Berdasarkan jumlah alamat emel yang tidak berkaitan nama pengguna akaun HealthHub dan percubaan log masuk akaun itu, kemungkinan alamat-alamat emel diperolehi daripada sumber luar," menurut HPB dalam kenyataannya.

Tiada bukti pencerobohan pada sistem HealthHub ditemui, tambahnya.

Portal HealthHub dimiliki HPB dan dikendalikan Integrated Health Information Systems (IHiS).

Percubaan log masuk dan akses terhad kepada peringkat asas HealthHub, yang menyimpan profil pengguna dan 'Healthpoints' yang terkumpul melalui penyertaan dalam program-program HPB. Khidmat lain online yang memerlukan SingPass dan pengesahan dua faktor (2FA) tidak terjejas, dedah HPB.

72 akaun yang berhasil dicerobohi kemudian dikunci. HPB menghubungi para pemilik akaun untuk memaklumkan mereka tentang kegiatan mencurigakan itu, dan untuk memeriksa sekiranya mereka sendiri yang mencuba untuk log masuk akaun masing-masing.

Akses kepada khidmat-khidmat online HealthHub dan aplikasi mudah alih digantung dari 9 Okt hingga 14 Okt sebagai langkah berjaga-jaga, dan sejak itu sudah dibaik pulih, menurut HPB.

Para pengguna HealthHub yang mempunyai sebarang pertanyaan tentang akaun mereka boleh menghubungi HPB di 1800 225 4482 atau HPB_HealthHub [at] hpb.gov.sg.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan