Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Home Team rasmikan pusat simulasi bagi latih komander tangani kecemasan berskala besar

Pusat itu menempatkan sebuah sistem yang menjalankan simulasi senario kecemasan dan krisis dalam pusat kawalan contoh melalui perwakilan 3D bagi senario sebenar.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 21 May 2018 04:17PM Dikemas Kini : 22 May 2018 12:05AM

SINGAPURA: Sebuah Pusat Simulasi Home Team baru yang melatih para komander dalam pengurusan insiden dan pengambilan keputusan beroperasi dirasmikan oleh Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam pada Isnin (21 Mei).

Pusat itu menempatkan sebuah sistem yang menjalankan simulasi senario kecemasan dan krisis dalam pusat kawalan contoh melalui perwakilan 3D bagi senario sebenar.

"Kami bermatlamat mengukuhkan kesepaduan Home Team berdasarkan nilai-nilai dan misi bersama, dan akademi itu mempunyai peranan penting dalam membinanya," kata Encik Shanmugam di seminar pelan kerja Akademi Home Team (HTA).

Beliau pertama sekali menyentuh tentang simulator di seminar pelan kerja HTA tahun lalu, apabila konsepnya dihasilkan.

Manfaat simulator tersebut termasuk mengurangkan tenaga manusia dan meningkatnya kekerapan latihan, kerana ia boleh berfungsi seperti latihan berskala besar namun terbatas dari segi pengerahannya.

Simulator berkenaan boleh menghasilkan 15 senario berbeza sambil memperkenalkan beberapa elemen baru bagi menjadikan latihan itu realistik dan tidak dijangka. Ini termasuk senario melibatkan bom dan penunjuk perasaan, yang bertujuan menguji para komander.

Senario tersebut juga berubah berdasarkan keputusan komander.

Satu senario adalah serangan kimia semasa sambutan hujung tahun di Orchard Road, lengkap dengan bom dan penunjuk perasaan.

Simulator itu buat masa ini menumpukan kepada empat lokasi: Bishan, Little India, Marina Bay Sands dan Orchard Road, dengan rancangan untuk merangkumi kawasan lain di masa depan.

APLIKASI MUDAH ALIH

Sambil mengekalkan tema kesepaduan dan bersifat konsisten dalam latihan, Encik Shanmugam berkata HTA akan melancarkan aplikasi mudah alih yang membolehkan pegawai mendapat akses kepada perisian kursus e-belajar di mana sahaja.

Kandungan aplikasi itu direka khas bagi perkongsian di seluruh HTD, yang memastikan pembelajaran lebih konsisten.

Para pegawai boleh menggunakan aplikasi tersebut bagi mendapatkan lebih banyak akses untuk belajar pada rentak yang lebih selesa. Aplikasi itu juga memenuhi pelbagai keperluan pembelajaran berbeza dengan menggabungkan gambar, video, podcast dan kuiz.

HTA memulakan percubaan Bukti Konsep dengan semua HTD dengan menghasilkan perisian kursus pembelajaran tentang aplikasi pembelajaran mudah alih.

LATIHAN DI MANA SAHAJA

HTA juga sedang merintis sistem "Training-on-the-go" (TANGO) atau "Latihan di mana sahaja" yang membolehkan sebarang lokasi diubah menjadi bilik darjah, sambil memberi pegawai barisan hadapan lebih kelonggaran dalam latihan mereka.

TANGO meliputi tiga komponen: Sistem Pengurusan Bilik Darjah Maya (VCMS), "Vertical-MINI" dan Webinar.

VCMS dilengkapi dengan mesej segera dan perkongsian skrin bagi membolehkan pegawai berkolaborasi dan berkongsi ilmu, manakala Vertical-MINI boleh mengubah sebarang permukaan menjadi papan interaktif bagi latihan bilik darjah. Webinar membolehkan penyampaian dilakukan di beberapa lokasi berbeza untuk disertai secara online.

Sekolah Siasatan Jenayah Home Team dan Unit Sains Tingkah Laku Home Team sedang melakukan percubaan bagi TANGO.

KEMAHIRAN SILANG BIDANG

Menjangkaui kesepaduan lebih ketat antara unit Home Team, Encik Shanmugam menekankan perlunya membangunkan pegawai melalui kemahiran berterusan dan peningkatan akademik.

Encik Shanmugam juga mengatakan HTA sedang bekerjasama dengan SkillsFuture Singapore dan beberapa institut pengajian tinggi bagi melatih pegawai dalam kemahiran bidang dan kemahiran silang bidang.

Kemahiran bidang termasuk kemahiran siasatan dan khidmat perubatan kecemasan, manakala kemahiran silang bidang termasuk analisis data dan keselamatan siber.

Para pegawai akan mengikuti kursus relevan, bergantung kepada keperluan pekerjaan mereka di tahap berbeza dalam kerjaya mereka.

KREDIT SARJANA MUDA

Dari segi akademik, HTA sedang bekerjasama dengan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) bagi memberi kredit kepada kursus dan membolehkan pegawai meraih sehingga 40 kredit sarjana muda SUSS selepas menamatkan kursus sebagai sebahagian daripada latihan mereka.

Kredit itu akan dikumpulkan bagi Sijil Pengajian Home Team yang diberikan SUSS, yang dijangka dilancarkan bermula Januari 2020. Kredit ini boleh dikira bagi tuntutan ijazah sarjana muda SUSS.

KURSUS ASAS

Tambahan itu, HTA juga sudah melancarkan kursus asas baru Home Team bagi semua pegawai kanan yang berpakaian seragam dan berpakaian biasa.

Kursus berkenaan, iaitu program dua minggu, bertujuan memupuk identiti kukuh di kalangan pegawai Home Team melalui pengalaman bersama, elemen pengalaman dan lawatan pembelajaran, dedah Home Team.

Kursus itu juga bertujuan "membina ikatan kukuh bagi Home Team, dengan pemahaman bersama tentang warisan dan budaya kita," kata Encik Shanmugam. 

Sumber : CNA/IM/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan