Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hingga 80% peniaga F&B Melayu/Islam belum dakapi program 'Go Digital', perlu didampingi

Sehingga 80% peniaga Melayu dalam bidang F&B belum lagi mengambil bahagian dalam program digital pemerintah.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sehingga 80% peniaga Melayu dalam bidang F&B belum lagi mengambil bahagian dalam program digital pemerintah.

Menyifatkannya sebagai amat membimbangkan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Yaacob Ibrahim menggesa usahawan Melayu supaya cepat bertindak menyerap penggunaan teknologi digital, jika tidak mahu ketinggalan dalam persekitaran persaingan yang berbeza sekarang.

Dr Yaacob yang juga Menteri Perhubungan dan Penerangan berkata demikian selepas sesi dialog bersama para peniaga Melayu/Islam, anjuran DPPMS hari ini (4 Dis).

BANTUAN BAGI PENIAGA DISEDIAKAN OLEH IMDA, DPPMS

Kurang pasti tentang kesan kaedah menggunakan teknologi atau digital.

Adakah kosnya tinggi?

Mampukah mereka mendakap cabaran teknologi baru?

Demikian antara keprihatinan yang diluahkan para peserta dalam dialog bersama Dr Yaacob hari ini (4 Dis).

Oleh itu, kehadiran para pegawai Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) dan DPPMS menurut Dr Yaacob bertujuan untuk menjelaskan lebih lanjut, segala kemusykilan yang ada.

Beliau juga berkongsi pengalaman peniaga yogurt Encik Rushdi Ramli.

Pendapatan beliau meningkat 10% setelah menggunakan teknologi digital termasuk bayaran menerusi online.

DR YAACOB BIMBANG 80% PENIAGA MELAYU F&B BELUM DAKAP TEKNOLOGI

Pengetahuan dalam teknologi digital kata Dr Yaacob satu peluang baik dan kritikal bagi usahawan Melayu agar tidak ketinggalan berbanding kaum lain.

"Saya diberitahu bahawa dalam 70 hingga 80% majikan-majikan Melayu dalam bidang makanan dan minuman belum lagi mengambil bahagian dalam program 'Go Digital'.

"Saya rasa ini adalah satu angka yang begitu tinggi dan membimbangkan. Tapi pada masa yang sama juga kita boleh mengatasinya, jadi yang lebih penting ialah bagaimana kita boleh mendampingi mereka, memberi penjelasan yang bersesuaian dengan mereka," tegas Dr Yaacob Ibrahim.

Program 'Go Digital' bagi SME diumumkan untuk memberikan sokongan yang lebih berstruktur dan inklusif dalam menggunakan teknologi digital bagi meningkatkan produktiviti dan keupayaan digital.

"Nasihat saya ialah pertama sekali pergi ke pusat SME untuk mendapatkan nasihat daripada penasihat-penasihat perniagaan yang ada di SME centre di DPPMS. Dengan begitu seorang usahawan dapat mengenal pasti, di mana mereka berada di Peta Transformasi Industri," kongsi Encik Fazli Mansor, Ketua Digitalisasi DPPMS.

INGIN DAKAP TEKNOLOGI DIGITAL BAGI TINGKATKAN KHIDMAT PELANGGAN

Bagi pemilik restoran Super Penyet, Cik Zuhairah Ashari, beliau percaya bahawa perubahan perlu dilakukan dengan menggunakan teknologi digital melihat kepada permintaan yang meningkat daripada pelanggan.

"Saya rasa transformasi digital ini penting untuk perniagaan saya sebab apa sekarang orang-orang pelanggan kita hendak dapatkan makanan yang lebih cepat dan sistem tanpa wang tunai penting juga dalam ini.

"Ini merupakan kerja rumah saya selepas sesi ini saya akan tanyakan SME yang lain juga macam mana untuk lancarkan di restoran saya dan juga kedai makan saya," kongsinya kepada pihak kami.

Dr Yaacob pula menekankan bahawa era teknologi digital adalah masa depan dan ia pasti "akan datang".

"Kita tidak boleh elakkan dan sekaligus kalau kita boleh membuatkan perubahan ini, insya Allah, saya rasa ini akan terus mempertingkatkan peniaga-peniaga Melayu di Singapura," ujar Dr Yaacob.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan