Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hidupkan watak dalam buku strategi pupuk minat anak pada bahasa Melayu

Minat terhadap bahasa Melayu boleh dipupuk menerusi kegiatan yang digemari anak-anak, kata penulis buku kanak-kanak tempatan, Jumaini Ariff.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Minat terhadap bahasa Melayu boleh dipupuk menerusi kegiatan yang digemari anak-anak, kata penulis buku kanak-kanak tempatan, Jumaini Ariff.

Menurut beliau, salah satu caranya adalah dengan menggandingkan penceritaan sebuah buku dengan kegiatan amali yang boleh dilakukan bersama.

Menggunakan contoh dari buku tulisannya sendiri, ‘Tiga, Dua, Satu, Zoom!’, Cik Jumaini berkongsi bahawa kisah watak utama Rara, yang ingin membawa neneknya terbang ke bulan, dijadikan ilham untuk membina sebuah kapal angkasa bersama anak-anak beliau menggunakan bahan-bahan kitar semula.

“Apabila anak-anak ini melihat buku itu hidup, tentu sahaja mereka akan mula berminat kerana mungkin selama ini, mereka lihat bahasa Melayu ini sebagai sesuatu subjek yang perlu dibelajar ejaannya, yang perlu ditulis ayatnya, yang perlu dibuat karangan.

“Kalau kita masih mahu menggarab minat mereka, kita perlu kembali ke aktiviti-aktiviti amali untuk digandingkan dengan buku cerita,” tambah beliau lagi.

TIP ‘MENGHIDUPKAN’ BAHASA IBUNDA DIKONGSI DI SIMPOSIUM

Pendekatan itu akan beliau kongsikan dalam satu bengkel selama sejam yang akan diadakan di Simposium Bahasa Ibunda esok (18 Ogos), di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapura.

Simposium yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan buat tahun ketujuh itu menampilkan 32 sesi perkongsian dan bengkel, selain 43 gerai pameran.

Sejajar dengan temanya, “Bahasa Ibunda Kita sebagai Bahasa yang Hidup”, simposium itu juga memaparkan sebuah ‘kawasan kejiranan’ di mana kanak-kanak boleh bertutur dalam bahasa ibunda ketika melakonkan pelbagai senario dalam kehidupan seharian.

Selain itu, ibu bapa juga boleh mendapatkan tip dari para pakar pendidikan mengenai cara mewujudkan persekitaran kondusif di rumah bagi memupuk rasa cinta anak-anak terhadap bahasa ibunda.

BAHASA MELAYU BUKAN SATU ‘KPI’

Salah seorang ahli panel yang akan berkongsi tentang peranan keluarga menjadikan bahasa Melayu satu bahasa yang hidup ialah pensyarah, pelakon dan juga penulis buku kanak-kanak, Sharon Ismail.

Beliau percaya salah satu cara untuk membiasakan anak-anak bertutur dalam bahasa Melayu di rumah adalah dengan menggunakan kegiatan yang lebih santai.

“Saya tidak mahu bahasa Melayu menjadi satu ‘KPI’ (Indeks Prestasi Utama) bagi diri mereka. Mereka harus dapat menghayati yang bahasa Melayu ini sudah sebati dalam kegiatan seharian mereka.

“Jadi kalau kita menggunakan bahasa Melayu di rumah secara santai; apabila kita berbual, membeli-belah, membuat kerja rumah misalnya, kita bermain bersama, anak-anak itu akan dapat menghayati bahawa bahasa (Melayu) ini memang relevan,” jelas beliau.

Untuk menggalak pembacaan buku-buku Melayu, ibu bapa kata Cik Sharon, perlu mencari bahan-bahan bacaan yang berkaitan dengan minat anak mereka.

“Walaupun sebagai contoh topiknya, Minecraft tetapi kalau ia dalam bahasa Melayu, ia dapat dikaitkan dengan minat anak-anak kita dan mereka nampak ini memang relevan dalam hidup saya sebab saya minat dengan Minecraft,” ujar Cik Sharon.

BUKU DWIBAHASA GALAK PENTERJEMAHAN LANGSUNG?

Bagi anak-anak yang lebih fasih dalam bahasa Inggeris pula, beliau menyarankan agar mereka dimulakan dahulu dengan buku dwibahasa seperti beberapa buku yang pernah beliau terbitkan sebelum ini bersama temannya, Rilla Melati.

Namun Cik Sharon menekankan bahawa buku-buku dwibahasa itu adalah hanya sebagai permulaan bagi anak-anak yang kurang fasih. Sebaik sahaja mereka selesa dengan sesuatu bahasa itu, buku yang ditulis dalam satu bahasa lebih digalakkan.

Apabila ditanya pula sama ada buku-buku dwibahasa itu akan menimbulkan satu lagi masalah lain, iaitu kecenderungan untuk menterjemahkan secara langsung dari bahasa Inggeris ke bahasa Melayu atau istilah Inggerisnya ‘direct translating’, Cik Sharon akui ia sememangnya berlaku dalam kalangan anak-anak muda masa kini.

Bagaimanapun beliau menambah, hal itu harus diterima sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran mereka dalam menghayati sesuatu bahasa.

“Mungkin penghayatannya belum begitu mendalam tetapi kita harus sabar dan menekankan tatabahasa (bahasa Inggeris) itu berbeza dengan bahasa Melayu.

“Dan ia harus diperbualkan sebab kalau bahasa itu kita tidak gunakan dalam kehidupan seharian kita, kita tidak akan dapat menghayati apa sebenarnya tatabahasa Melayu itu,” jelas beliau lagi.

IBU BAPA PERLU KONSISTEN, RAIKAN PERCUBAAN ANAK-ANAK

Cik Jumaini turut berkongsi pendapat yang sama di mana ibu bapa perlu konsisten dalam penggunaan bahasa Melayu di rumah walaupun jika ia hanya pada tahap asas.

“Alah bisa tegal biasa kan? Jadi kalau sekiranya mereka tidak dibiasakan dengan mendengar dan bertutur dalam bahasa Melayu, ia akan menjadi payah,” kata beliau.

Persepsi sesetengah ibu bapa yang menganggap bahasa Melayu itu tidak sepenting bahasa Inggeris juga perlu diubah tegasnya, kerana bahasa ibunda mencerminkan jati diri anak itu sendiri.

“Ini adalah jati diri kita dan kalau sekiranya kita menidakkan bahasa Melayu wujud dalam diri anak kita, bukankah itu menidakkan asal usulnya?” tanya beliau.

Yang penting, katanya, adalah untuk tidak mematahkan semangat anak-anak untuk bertutur dalam bahasa Melayu, dan sebaliknya meraikan percubaan mereka dalam apa cara sekalipun.

“Kita raikan sedikit demi sedikit, insya-Allah ia akan membuahkan hasil yang terbaik, (iaitu) anak-anak Melayu yang tidak janggal berbahasa Melayu,” kata beliau. 

Sumber : BERITA Mediacorp/NT/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan