Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Heng: Kita boleh atasi tragedi dengan semangat setiakawan

Bencana alam di Sabah tidak akan dapat memutuskan hubungan yang kukuh sesama manusia.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 12 Jun 2015 08:38PM Dikemas Kini : 12 Jun 2015 09:05PM

SINGAPURA: Bencana alam di Sabah tidak akan dapat memutuskan hubungan yang kukuh sesama manusia.

Dan ini dapat dilihat menerusi semangat setiakawan yang dipaparkan ketika Singapura bersedih atas kematian 10 orang dari Singapura dalam tragedi gempa bumi di Sabah.

Dengan semangat itulah, Menteri Pendidikan Heng Swee Keat menggesa para lulusan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) supaya menghargai orang-orang yang ada di sekeliling mereka.

Encik Heng berucap di majlis penyampaian sijil tamat pengajian ITE petang tadi.

Tahun ini, lebih 12,500 pelajar ITE menamatkan pengajian mereka. Daripada jumlah tersebut, 630 pelajar menerima sijil merit mereka hari ini.

Dalam ucapannya, Encik Heng menukil iktibar daripada tragedi gempa bumi di Sabah. Menurutnya, walaupun ada perkara yang di luar kawalan manusia seperti gempa bumi di Sabah, hubungan antara manusia yang menjalinkan kita sebagai satu keluarga, masyarakat dan negara, dapat dikawal. Dan jalinan itu lebih kukuh daripada bencana alam yang terjadi.

"Kita tidak boleh menghentikan bencana alam. Tiada siapa yang boleh. Tetapi kita boleh melawannya dengan hubungan kita, persahabatan kita, rasa cinta, hormat dan kasih sayang kita antara satu sama lain.

"Dan minggu lepas, saya pelajari bahawa tiada kuasa alam yang dapat menghancurkan hubungan kukuh sesama manusia yang amat mengasihi antara satu sama lain. Ia adalah semangat setiakawan. Kita boleh mengatasi tragedi yang paling dahsyat dengan semangat itu," ujar Encik Heng.

Oleh itu, para pelajar digalakkan untuk menghargai ibu bapa, guru serta orang tersayang yang sudah banyak berkorban untuk mereka.

Sementara itu, di majlis penyampaian sijil tamat pengajian hari ini, pingat emas turut diberikan kepada 11 pelajar ITE cemerlang.

Seorang daripada mereka ialah Ku-Nuramalina Ku-Azaman dari ITE Kolej Tengah. Selepas dua kali gagal untuk memasuki politeknik, Ku membuat keputusan melanjutkan pelajaran di ITE dalam jurusan Khidmat Perbankan.

Dan petang tadi, Ku yang kini menuntut di Politeknik Singapura menjadi salah seorang penerima Pingat Emas Sng Yew Chong.

"Terharu dan bangga sekali kerana selama ini apa yang telah saya usahakan dapat dikurniakan anugerah dan kerana kepercayaan diri sendiri, saya dapat melakukan ini semua," ujar beliau.

Tiga pelajar pula menerima pingat emas terunggul yakni Pingat Emas Lee Kuan Yew. 

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan