Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hawker Management bertemu dengan penyewanya untuk capai huraian secara damai

Pengendali Pusat Penjaja Jurong West hari ini (15 Okt) menyatakan ia akan bertemu dengan para penyewanya dalam beberapa hari ini untuk mendengar masalah mereka selepas para penjaja membantah beberapa syarat-syarat dalam kontrak mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Hawker Management bertemu dengan penyewanya untuk capai huraian secara damai

Pusat Penjaja Jurong West dikendalikan Hawker Management.

Diterbitkan : 16 Oct 2018 01:05AM Dikemas Kini : 16 Oct 2018 01:06AM

SINGAPURA: Pengendali Pusat Penjaja Jurong West hari ini (15 Okt) menyatakan ia akan bertemu dengan para penyewanya dalam beberapa hari ini untuk mendengar masalah mereka selepas para penjaja membantah beberapa syarat-syarat dalam kontrak mereka.

Para penyewa dikenakan bayaran 20 sen bagi setiap dulang yang dipulangkan para pelanggan, dan mereka yang ingin membatalkan kontrak mereka awal, perlu membayar sewa bulanan sehingga kontrak tamat atau sehingga pengendali, Hawker Management, berhasil menemukan penyewa baru, menurut laporan.

Jumlah yang dibelanjakan bagi dulang-dulang yang dipulangkan sahaja boleh mencecah S$900 sebulan, lapor TODAY minggu lalu, menukil salah seorang penjaja yang ditemuinya.

Dalam kenyataannya, Hawker Management menyatakan bahawa ia akan "mengadakan mesyuarat dengan para penyewa Pusat Penjaja Jurong West dalam beberapa hari ini untuk mengumpul maklum balas dan pandangan mereka tentang keprihatinan masing-masing".

"Hawker Management kekal komited untuk terus bekerja rapat dengan para penyewa untuk menyelesaikan masalah-masalah secara damai," menurut pengendali itu.

Satu petisyen dari 12 penjaja dikirimkan kepada Hawker Management pada Ogos lalu. Pengendali itu merupakan anak syarikat perusahaan sosial Koufu, lapor TODAY.

Pengendali perusahaan sosial seumpama itu lazimnya mengendalikan pusat penjaja atas dasar bukan untuk meraih keuntungan.

"AMALAN PIAWAI INDUSTRI"

Dalam kenyataannya sebelum ini kepada Mediacorp, Hawker Management menyatakan bahawa skim mengembalikan dulangnya satu "hasil kerjasama antara para penjaja dengan pihak pengurusan".

Ia dilaksanakan untuk mencapai dua matlamat: Untuk "secara kolektif menggalak para pelanggan untuk memulangkan dulang-dulang yang digunakan supaya mampu mempunyai sekitaran lebih bersih dan selesa", serta "meningkat produktiviti" di samping menawarkan pilihan makanan yang lebih dimampui bagi masyarakat, menurut Hawker Management.

Pengendali itu turut menjawab beberapa aduan berkenaan yuran denda sekiranya kontrak dibatalkan.

Dalam laporan TODAY, ia menukil seorang penjaja sebagai mengatakan bahawa beliau perlu membayar sewa bulanan sebanyak S$2,140 di Jurong West meskipun sudah berpindah dan beliau perlu terus melakukan itu sehingga kontrak tiga tahunnya berakhir atau ada penyewa baru.

Hawker Management menegaskan bahawa syarat-syarat dalam perjanjiannya selaras dengan "amalan piawai industri".

"Namun, kami masih bersikap fleksibel dan memahami, dan sekiranya notis mencukupi diberikan, kami tidak akan mengenakan sebarang bayaran sewa bagi tempoh masa yang tidak dipenuhi," menurutnya. "Kami juga memastikan semua kos yang dikenakan diterangkan kepada para penjaja sebelum mereka menyewa gerai dan menandatangani perjanjian penyewaan."

Isu-isu ini pertama kali diutarakan dalam surat terbuka kepada Menteri Negara Kanan Sekitaran dan Sumber Air Amy Khor oleh pengasas Makansutra KF Seetoh.

Selain yuran bagi dulang-dulang yang dipulangkan dan denda kerana membatalkan kontrak, beliau berkata para penjaja juga perlu menanggung kos guaman bagi draf-draf kontrak.

KEPRIHATINAN TENTANG PUSAT PENJAJA KEUSAHAWANAN SOSIAL

Pelbagai keprihatinan tentang pusat penjaja di bawah keusahawanan sosial sebelum ini pernah diutarakan.

Dua minggu lalu, Anggota Parlimen Louis Ng dan Zainal Sapari, serta AP Tanpa Kawasan Undi Dr Daniel Goh, mengajukan soalan-soalan dalam sesi Parlimen tentang kos tambahan yang ditanggung para penjaja di pusat-pusat seperti itu.

Semasa menjawabnya, Dr Khor berkata para penjaja di pusat-pusat sedemikian - yang dikendalikan entiti-entiti termasuk Fei Siong, NTUC Foodfar dan Timbre - boleh menyuarakan keprihatinan mereka kepada NEA melalui para pengurus pusat masing-masing.

Di Pusat Penjaja Ci Yuan di Hougang, para penjaja membangkang yuran tambahan yang dikenakan oleh pengendali, Fei Siong Food Management.

Para penjaja mendakwa yuran kawalan mutu sebanyak S$650 perlu dibayar setiap bulan, namun Fei Siong menyatakan bahawa ia hanya satu "salah faham" dan ia satu pilihan bagi mereka untuk membayar yuran itu.

Para penjaja di pusat-pusat di bawah keusahawanan sosial juga tidak berpuas hati dengan kos-kos yang perlu ditanggung bagi khidmat cuci pinggan mangkuk dan khidmat tukar koin.

Pusat-pusat penjaja di bawah keusahawanan sosial termasuk Pusat Penjaja Ci Yuan, Our Tampines Hub, Yishun Park, Jurong West, Bukit Panjang, Kampung Admiraltu dan Pasir Ris Central.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan