Images
  • hanez1
    Hanez Nabila (kiri) yang mengalami kondisi 'biliary atresia' dan sakit kuning sejak bayi, bersama ibunya.

Hanez Nabila 6 tahun alami kerosakan hati dan sakit kuning teruk; perlu jalani pemindahan hati

BERITAmediacorp: Pada usia enam tahun, kanak-kanak lain mungkin seronok mempelajari ilmu baru di prasekolah sambil bermain-main dengan rakan sebaya dengan penuh keletah.

Namun, pengalaman seumpama itu sekadar dapat dibayangkan sahaja oleh Hanez Nabila Mohamed Sani. Dia sukar berbuat demikian.

Dilahirkan dengan kondisi 'biliary atresia' atau penyakit hati sejak bayi yang menyebabkan saluran hempedu tersumbat atau lebih sempit dari biasa, kehidupan Hanez dipenuhi dengan kunjungan ke poliklinik dan hospital untuk mendapatkan rawatan.

Malah akibat kondisi hati yang tidak dapat berfungsi dengan betul, sakit kuning teruk yang dialaminya sejak bayi juga terlalu tinggi sehingga pernah dimasukkan dan dirawat di hospital selama dua bulan lamanya.

Keadaan Hanez kian beransur pulih pada usia dua tahun, bagaimanapun harapan ibunya meleset tahun lalu selepas Hanez menginjak usia lima tahun.

"Hatinya tak berfungsi dengan baik, nutrisinya tidak bagus. Dia tak nak makan. (Apabila membuang air besar), najis dia berwarna putih," kongsi Cik Hafizah Bee Abdul Aziz dengan penuh sayu.

PERLU JALANI PEMINDAHAN HATI

Lantaran itu, Cik Hafizah bertindak mendapatkan nasihat doktor di Hospital Universiti Nasional (NUH) sekitar dua bulan lalu. Konsultan kanan di NUH Dr S. Venkatesh Karthik kemudian mendedahkan Hanez perlu menjalani pemindahan hati bagi memulihkan keadaannya.

"Kami terperanjatlah, (organ) hati dia dah rosak. Nak cari penderma pun susah sebab Hanez ini kecil, jadi dia (perlukan) seseorang dalam lingkungan 40 hingga 60 kilo.

"Bagi pemindahan, memang boleh berjayalah, tapi untuk Hanez serasi dengan hati itu, saya serahkan dia dengan Allah, penolakan (hati) memang adalah, risikonya sangat tinggi untuk Hanez," luah Cik Hafizah sambil bercucuran air mata.


Bahkan tubuh kecil Hanez bukan sahaja terpaksa menanggung keadaan mata putihnya yang berubah menjadi warna kekuning-kuningan, kulit yang gatal-gatal dan sukar tidur disebabkan sakit kuning. Disebabkan kerosakan pada hati, limpa Hanez juga membesar sehingga menjejas tulang rusuk dan membuatnya rasa sangat tidak selesa.

HANEZ "TAK TAHAN LAGI MACAM INI"

Dengan deraian air mata, Cik Hafizah berkongsi: "Hari-hari (Hanez) nangis, hari-hari tak tidur, dia tak boleh pergi sekolah. Kesian, sebab dia selalu tanya bila dia nak pergi sekolah, bila dia nak pergi pembedahan sebab dia tak tahan lagi macam ini.

"Saya sebagai emak, berat tengok dia macam ini. Sekarang dia selalu cakap dengan saya jangan tinggalkan dia."


Cik Hafizah berkata Hanez malah tidak tidur dari 12.00 malam hingga 7.00 pagi, dan hanya akan nyenyak dari lapan hingga 11.00 pagi. Harapan untuk Hanez menjalani kehidupan biasa terus bergantung kepada penderma hati yang sesuai.

Ini selepas calon penderma pertama, iaitu saudara Cik Hafizah, menarik diri dan calon penderma hati kedua, iaitu ayah Hanez sendiri, pula didapati tidak sesuai akibat hati yang berlemak.

"Sekarang kawan baik suami saya, jadi insyaAllah kalau dia buat ini untuk Allah, kalau dia nak selamatkan anak saya, saya bersyukurlah," ujar Cik Hafizah dengan pilu.

BERJAYA KUMPUL $18,000, NAMUN HARUS TUTUP LAMAN GIVE.asia

Sebelum ini, Cik Hafizah juga membuka laman mengutip dana bagi rawatan Hanez Nabila di GIVE.asia dan berjaya mengumpul sekitar $18,000.

Bagaimanapun, beliau diminta menutup laman tersebut selepas pekerja sosial perubatan menawarkan membantu dalam Medifund dan bakal mengusahakan dalam masa lapan minggu akan datang.

Jumlah $18,000 sudahpun digunakan bagi rawatan Hanez sebelum ini. Lagi S$100,000 dijangka diperlukan bagi melunaskan pembedahan Hanez bagi pemindahan hati itu.

"Saya mesti kuatkan diri sebab saya ada anak-anak yang lain juga yang perlukan saya. Saya selalu cakap dengan dia, kita nak kena kuat, Hanez harus kuat untuk berjuang, sebab pemindahan mahupun penolakan (hati) ini semua bergantung dengan dia, sama ada dia boleh sesuaikan diri atau tidak, itu semua dia," kata ibu empat orang anak ini.

COLOURS OF HOPE SULUH HARAPAN

Mujurlah di tengah-tengah kesulitan yang dialami Hanez, badan kebajikan One Heart Brothers Society dengan kerjasama Souq Event mahu membantu keluarga-keluarga yang mempunyai penyakit kronik seperti anak kecil itu.


Diberi nama Colours of HOPE, acara bazar amal yang bakal berlangsung di Persekutuan Silat Singapura di Bedok North Street 2 pada Sabtu dan Ahad ini (13 dan 14 Oct) bertujuan meningkatkan kesedaran kepada masyarakat tentang nasib pesakit penyakit kronik.

Pengasas One Heart Brothers Society, Noor Halis Maspot berkata: "Kami berharap dapat mencapai $10,000 secara keseluruhannya. Kami berharap dengan habuan yang diterima oleh keluarga-keluarga ini, ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban dan juga dapat menceriakan mereka insyaAllah.

One Heart Brothers Society yang sebahagiannya dianggotai bekas-bekas pesalah, sebelum ini menganjurkan #ProjekKampung yang turut dihadiri Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

"Nasihat (Dr Faishal) adalah tidak kira kamu dari golongan bekas pesalah, atau mereka yang berjaya, jikalau kamu ingin menyumbang kepada masyarakat, kita tidak perlu melihat kepada latar belakang seseorang itu.

"Dari situ, kami berharap masyarakat dapat memberi peluang kepada golongan bekas pesalah untuk terus membantu."

Colours of HOPE juga akan diwarnai oleh 36 gerai, dengan enam stesen makanan 'live' serta sudut kegiatan kanak-kanak. 

- BERITAmediacorp/im

Top