Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hampir 90% ruang runcit Jewel Lapangan Terbang Changi sudahpun disewa

Hab runcit dan gaya hidup mega Lapangan Terbang Changi, Jewel, bakal dibuka pada separuh pertama tahun depan dengan hampir 90 peratus kedai-kedainya sudahpun disewa.

Anggaran Waktu Membaca:
Hampir 90% ruang runcit Jewel Lapangan Terbang Changi sudahpun disewa

Tempat makan di Jewel. (Gambar: Lapangan Terbang Changi Jewel)

SINGAPURA: Hab runcit dan gaya hidup mega Lapangan Terbang Changi, Jewel, bakal dibuka pada separuh pertama tahun depan dengan hampir 90 peratus kedai-kedainya sudahpun disewa.

Antara yang menjadi penyewanya termasuklah rangkaian A&W, kedai Pokemon, kompleks pawagam Shaw dengan 11 buah panggung.

Yang pasti, ia menjanjikan pengunjung satu daya tarikan bertaraf dunia dengan kira-kira separuh kedai di Jewel menawarkan jenama tempatan. Ini selaras dengan tujuan pembangunan kompleks itu yang ingin mempamerkan Singapura ke mata dunia.

Kompleks bersepadu 10 tingkat itu - 5 tingkat atas dan 5 tingkat bahagian besmen - bakal menampilkan lebih 280 kedai dan tempat makan di tujuh lantai ruang runcitnya.

Kedai-kedai di Jewel. (Gambar: Lapangan Terbang Changi Jewel)

Kedai-kedai di Jewel. (Gambar: Lapangan Terbang Changi Jewel)

Jewel Changi menjanjikan pengalaman unik itu bagi semua pelawat apabila ia dibuka pada tahun depan.

Antara keistimewannya - menjamu selera dalam suasana sekitaran yang menghijau dan peluang menikmati keindahan taman semula jadi di sepanjang koridor runcit.

Terdapat juga 11 ruang gedung mega dengan salah satu kemudahan itu menempatkan peruncit reka bentuk setempat, Naiise.

HALAL DIBERI PERHATIAN BAGI PENGUNJUNG MUSLIM

Kedai pertama Pokémon di luar Jepun bakal membuka pintunya di Jewel Changi, khas bagi para peminat watak kartun itu untuk mendapatkan barangan dan cenderahati watak animasi popular tersebut.

Para pengunjung juga pasti rambang mata dengan pelbagai kedai makanan yang dibuka di Jewel termasuk rangkaian restoran makanan segera A&W, yang membuat kemunculan semula setelah 10 tahun menutup semua cawangannya di Singapura.

Kedai-kedai di Jewel. (Gambar: Lapangan Terbang Changi Jewel)

Rangkaian restoran dari Amerika Syarikat itu sedang dalam proses mendapatkan sijil halal.

Di samping A&W, El Fuego by COLLIN'S - sebuah restoran yang menghidangkan masakan Eropah, juga ingin menawarkan pilihan bermutu pada harga berpatutan
bagi para pengunjung Melayu/Islam dengan mendapatkan pensijilan halal.

"Saya rasa halal sangat penting bagi kami sebagai sebuah jenama tempatan. Satu, ia seperti melambangkan Singapura dan sekitaran lapangan terbang di mana terdapat banyak masyarakat Melayu/Islam antarabangsa dan tempatan yang mencari restoran yang baik," ulas Cik Serene Chan, Ketua Pemasaran & Perhubungan SF Group Limited, tentang mengapa restoran El Fuego by COLLIN'S ingin mendapatkan sijil halal.

"Kami akan bekerjasama rapat dengan para pengendali restoran kami untuk mendapatkan lebih banyak pilihan yang disahkan halal bagi pengunjung-pengunjung Jewel," kata Cik Tan Mui Neo, Ketua Penyewaan, Jewel Lapangan Terbang Changi.

Projek baru Jewel yang menelan belanja $1.7 bilion ini dihubungkan dengan Terminal 1 secara langsung dan dengan Terminal 2 serta 3 menerusi laluan penghubung berhawa dingin yang dilengkapi dengan travelator.

Apabila siap kelak, kira-kira 50 juta pengunjung dijangka melawat kompleks ini setiap tahun, mengharumkan lagi nama hab penerbangan Changi di persada dunia. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan