Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hadiah Hari Raya; selepas 18 tahun mencari akhirnya Firdaus Nooralam ketemu bapa kandung

Akhirnya. Setelah bertahun-tahun mencari, tahun 2018 membawa nikmat kegembiraan luar biasa buat Encik Muhammad Firdaus Nooralam.

Anggaran Waktu Membaca:
Hadiah Hari Raya; selepas 18 tahun mencari akhirnya Firdaus Nooralam ketemu bapa kandung

Petikan gambar Encik Firdaus menerusi video yang dimuat naik ke laman Facebook.

BERITAMediacorp: Akhirnya. Setelah bertahun-tahun mencari, tahun 2018 membawa nikmat kegembiraan luar biasa buat Encik Muhammad Firdaus Nooralam.

Ini mungkin Lailatul Qadar baginya atau mungkin juga hadiah Hari Raya paling istimewa buat beliau. Yang pasti, doa beliau terkabul sehingga sebak rasa di dadanya tidak terhingga.

Awal bulan ini, iaitu pada 3 Jun, BERITAMediacorp melaporkan tentang usaha Encik Firdaus untuk mencari bapanya yang menghilang selama 18 tahun. Sesingkat dua hari sahaja selepas laporan BERITAMediacorp itu, iaitu pada 5 Jun 2018, Encik Firdaus menerima panggilan telefon yang amat berharga bagi dirinya.

Bapa Encik Firdaus menghubungi beliau setelah mendapat tahu tentang usaha anaknya untuk menjejakinya.

“Tiba-tiba sahaja ayah telefon. Pada 5 Jun, saya terima panggilan telefon dari nombor Malaysia. Memandangkan saya sedang sibuk ketika itu saya minta isteri jawabkan,” Encik Firdaus memberitahu BERITAMediacorp.

Sebaik sahaja diberitahu bahawa yang menelefon adalah Encik Nooralam Abdullah, iaitu bapa Encik Firdaus, isteri Encik Firdaus segara memaklumkan kepadanya.

Saat mendengar suara bapanya air mata gembira bercampur syukur mengalir. Encik Firdaus berkata hatinya begitu lega kerana akhirnya usaha bertahun-tahun untuk mencari bapanya membuahkan hasil.

“Saya dengar suara ayah. Kemudian kami lakukan panggilan video. Memang betul itu ayah. Saya juga menunjukkan anak-anak saya kepadanya dan dari situ kami mula untuk sekali lagi saling mengenali antara satu sama lain,” ujar anak sulung empat beradik itu.

Encik Firdaus memberitahu BERITAMediacorp, bapanya sekarang menetap di Kuala Lumpur. Encik Nooralam mendapat tahu tentang Encik Firdaus yang sedang mencari dirinya menerusi oleh seorang rakan.

Sejak panggilan telefon yang pertama dua minggu lalu itu, Encik Firdaus dan bapanya belum lagi bertemu secara empat mata. Namun kedua-duanya kerap berhubungan setiap hari menerusi kiriman WhatsApp dan juga panggilan video kira-kira tiga kali seminggu.

Menurut Encik Firdaus lagi, menerusi perbualan telefon kali pertama, beliau difahamkan bahawa bapanya kurang sihat. Sungguhpun demikian, bapa Encik Firdaus menasihatinya agar menunggu kepulangannya ke Singapura “dalam masa terdekat”.

“Saya cakap ok, saya tunggu. Tapi perlahan-lahan saya yakinkan ayah, saya hantar gambar cucu. Dia tak sabar nak balik,” katanya.

Pada Hari Raya pertama tahun ini, semasa berkunjung ke rumah neneknya (sebelah bapanya), Encik Firdaus sekali lagi melakukan panggilan video dengan bapanya untuk nenek itu dan ibu-ibu saudaranya. Ini setelah mendapat tahu rupa-rupanya mereka juga selama ini mencari-cari adik mereka itu.

“Mereka menangis dan berterima kasih kerana saya sudah menjumpai ayah saya, adik mereka. Sejauh ini semua orang gembira kerana akhirnya dapat bercakap dengan ayah setelah sekian lama,” tambah Encik Firdaus, 30 tahun.

Dalam laporan BERITAMediacorp sebelum ini, Encik Firdaus berkata beliau tidak pernah sekalipun merasakan manisnya menyambut Aidilfitri bersama bapa kandungnya itu. Tambah meruntun hati, apabila beliau tidak ada walau sekeping pun gambar ayahnya yang boleh beliau tatap untuk menghilangkan rasa rindu yang membuak-buak.

Maka dengan berakhirnya penantian bertahun-tahun lamanya, sudah tentu Lebaran kali ini, begitu besar sekali ertinya bagi Encik Firdaus.

“Ia amat bermakna sekali bagi saya untuk mengetahui bahawa ayah masih menganggap saya sebagai anaknya dan dia sentiasa mendoakan kami walaupun beliau tiada bersama kami.

“Akhirnya saya dapat memberitahu anak-anak saya bahawa atok (Encik Nooralam) adalah bapa saya. Saya sudah lama merindukan kasih sayang seorang bapa dan akhirnya juga Allah makbulkan doa-doa saya,” luah Encik Firdaus penuh kesyukuran.

Sebelum ini juga Encik Firdaus menyifatkan dirinya sebagai “mangsa keadaan” apabila secara tiba-tiba terpisah dengan bapanya sejak beliau berusia 12 tahun lagi. Namun bagi dirinya, itu semua adalah isu-isu masa lalu.

“Apa yang sudah berlalu biarkan berlalu. Tanpa seorang bapa kami mungkin tidak wujud. Saya memaafkan beliau atas kekhilafannya pada masa dahulu. Setiap orang melakukan kesilapan. Namun hanya seorang yang kuat akan berani mengaku dan menerima kesalahannya dan berusaha menjadi seseorang yang lebih baik,” ujar beliau.

Encik Firdaus menambah: “Tiada apa yang lebih bermakna daripada ini. Saya amat gembira kerana saya tidak menyangka akan dapat menjejak ayah saya. Tiada apa yang mustahil kalau kita berusaha.”

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan