Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hab Tampines Kita manfaatkan teknologi pembersihan bijak bagi perluas usaha kemampanan

Penduduk Tampines akan dapat menyaksikan lebih banyak teknologi pembersihan bijak dimanfaatkan di hab masyarakat dan gaya hidup bersepadu terbesar di Singapura, Hab Tampines Kita (OTH).

Anggaran Waktu Membaca:
Hab Tampines Kita manfaatkan teknologi pembersihan bijak bagi perluas usaha kemampanan

'Sharon' iaitu mesin pemberus robotik Cleanfix RA 660 antara teknologi pembersihan bijak di OTH. (Gambar: Ira Musfirah)

SINGAPURA: Penduduk Tampines akan dapat menyaksikan lebih banyak teknologi pembersihan bijak dimanfaatkan di hab masyarakat dan gaya hidup bersepadu terbesar di Singapura, Hab Tampines Kita (OTH).

Dengan kerjasama penyedia khidmat ISS Facility Services, OTH memanfaatkan teknologi robot, bagi mendorong kemampanan eko di hab tersebut.

Sempena pelancaran inisiatif itu, usaha 72 kakitangan pembersih di hab tersebut turut diraikan hari ini (17 Jan).

Para pengunjung diperkenalkan kepada 'Tommy' dan 'Sharon' - teknologi bijak yang digunakan di OTH dalam bentuk Cleanfix RA 660, iaitu mesin pemberus robotik tanpa pemandu.

Ia mampu meliputi kawasan sehingga seluas 1,200 meter persegi setiap jam, sekaligus membantu meningkatkan daya penghasilan dan kecekapan.

Kawasan OTH ialah seluas lebih 232,000 meter persegi dan 72 kakitangan pembersihannya berkhidmat sepanjang waktu.

MUDAH DIGUNAKAN, KERJA LAIN DAPAT DILAKUKAN

Seorang pekerja pembersih di OTH, Encik Syamsul Ridwan Mohamed Rasidi akur teknologi bijak yang diterapkan itu mudah digunakan.

"Dengan adanya mesin-mesin canggih ini, ia memudahkan kerja, sebab kadang-kadang kita nak cepat dan kita boleh tambah kerja lain yang diperlukan," ujarnya.

Cleanfix Robo 40s (tengah) dan 'Tommy' dalam bentuk Cleanfix RA 660 (kanan).

Penyelia pembersihan hab tersebut, Encik Vinoth Thirunavukkarsu turut memberi ulasan: "Jika ada bekas dan kami membersihkannya secara manual, ia akan mengambil masa agak lama. Kalau gunakan mesin pemberus, ia lebih mudah digunakan dan juga mudah tanggal."

Encik Vinoth juga memastikan 30 minit diperuntukkan setiap hari bagi melatih para pekerja pembersih mempelajari cara menggunakan mesin-mesin baru itu.

PENGUNJUNG BOLEH ALU-ALUKAN 'PENGUIN'

'Penguin' atau Explorer Wall-E Sweeper yang boleh menyedut habuk dan menyapu, turut dicuba dan boleh dijangkakan di OTH tidak lama lagi.

Explorer Wall-E Sweeper atau 'Penguin'.

Huraian inovatif lain yang mungkin diperkenalkan di OTH termasuk Cleanfix Robo 40s, Smart Trolley, Vermop Equipmove I-Mop Stand-On Motorised Trolley dan Taski Intellitrail.

Langkah ini juga diambil sebagai sebahagian daripada usaha menangani masalah kurang minat pekerja dalam sektor perkhidmatan pembersihan di Singapura.

Mesin-mesin pembersihan berteknologi tinggi di OTH hari ini (17 Jan).

Pengarah dan Ketua OTH, Encik Suhaimi Rafdi berkata: "Perlu untuk memanfaatkan inisiatif teknologi bijak bagi meningkatkan daya penghasilan, dari segi kelajuan dan kecekapan. Saya rasa ia penting dan begitu jugalah cabaran Singapura yang kekurangan tenaga manusia dapat ditangani - dengan menggunakan teknologi.

"Kami rasa perlu untuk meningkatkan daya penghasilan tanpa menanggung kos yang lebih tinggi."

Pengarah dan Ketua Hab Tampines Kita, Encik Suhaimi Rafdi. (Gambar: OTH)

OTH SEDIA JADI PLATFORM PERCUBAAN

Encik Suhaimi juga berkongsi OTH bersedia menjadi platform bagi penyedia khidmat ISS mencuba teknologi-teknologi baru dalam industri khidmat pembersihan.

Alat I-Mop salah satu perkakas berteknologi tinggi yang sedang digunakan. (Gambar-gambar: Ira Musfirah)

"Walaupun ia akan menjadikan kami sebagai pusat pembelajaran, kami tetap terbuka meneroka semua pilihan, sekaligus memberi manfaat kepada ISS Facility Services mempamerkan teknologinya di hab berbilang bidang ini," ujar beliau.

Antara usaha kemampanan eko yang dilakukan OTH termasuk menukar sisa makanan menjadi baja organik, untuk digunakan semula di taman-taman eko dan landskap di sekitar hab tersebut.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan