Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Golongan muda harus sentiasa bersedia untuk berubah, belajar ilmu baru

Seminar ketiga 'NextStop' itu berlangsung di Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) semalam (12 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sentiasa bersedia untuk berubah dan mempelajari ilmu yang baru. Itulah semangat yang harus dimiliki golongan muda menurut Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan Dr Muhammad Faishal Ibrahim untuk kekal berdaya saing dalam landskap ekonomi baru.

Beliau berkata demikian di seminar 'NextStop' anjuran Yayasan MENDAKI.

Sekitar 300 belia dari peringkat ITE hingga universiti menyertai seminar itu untuk menimba ilmu serta pengetahuan mengenai peluang pekerjaan dan bentuk pekerjaan dalam ekonomi masa depan.

Dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu, mereka berpeluang memperoleh pengalaman para pakar industri tentang trend dan kemahiran yang diperlukan untuk pekerjaan akan datang.

"Bersedia untuk masa depan membawa erti yang mendalam buat kita semua. Dengan landskap dunia yang semakin dinamik, kita tidak mampu untuk hanya bergantung harap pada kebolehan yang kita miliki sekarang sahaja.

"Kemajuan teknologi yang pesat bererti kita juga perlu lincah menyesuaikan diri agar kekal relevan dengan menimba ilmu baru. Pesan saya kepada anda semua: Sentiasa bersedia untuk berubah dan mempelajari ilmu yang baru," ujar Dr Faishal.

Mesej yang disampaikan jelas - pembelajaran sepanjang hayat perlu untuk mempertingkat tahap ilmu dan kemahiran berterusan dalam ekonomi digital.

Seorang peserta seminar itu, Anizah Abdul Ghani, berkata: "Kita boleh belajar untuk berubah bukan hanya berpegang kepada satu cara sahaja tetapi ada berbagai cara untuk kita berubah juga. Saya dapati bahawa kita boleh menambahkan ilmu dengan pengetahuan kita untuk kekal relevan."

Para peserta juga mengambil kesempatan untuk mengemukakan keprihatinan mereka dalam satu sesi perbincangan bersama anggota Jawatankuasa Ekonomi Masa Depan (CFE), Encik Saktiandi Supaat.

Seminar ketiga 'NextStop' itu berlangsung di Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) semalam (12 Ogos). 

Sumber : BERITA Mediacorp/FZ/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan