Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Golongan berkemampuan Melayu/Islam dipelawa tampil jadi ibu bapa titipan

Golongan yang berkemampuan dalam masyarakat Melayu/Islam dipelawa tampil menjadi ibu bapa titipan kepada anak-anak yang memerlukan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Golongan yang berkemampuan dalam masyarakat Melayu/Islam dipelawa tampil menjadi ibu bapa titipan kepada anak-anak yang memerlukan.

Malah, menjadi ibu bapa angkat atau titipan sangat-sangat dialu-alukan dalam Islam, yang turut menggalak umatnya supaya menyumbang kepada kemaslahatan masyarakat.

Seruan ini dibuat oleh Mufti Negara Dr Mohamed Fatris Bakaram di sesi perbincangan mengenai hak dan status penjagaan anak angkat dan titipan anjuran Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) siang tadi (15 Jul).

Bolehkah anak angkat atau titipan mendapat lebih daripada sepertiga bahagian harta peninggalan?

Bolehkah mereka berbin atau berbintikan bapa angkat atau titipan mereka?

Itulah antara pertanyaan yang diajukani dalam sesi perbincangan bersama Mufti Negara Dr Mohamed Fatris Bakaram.

Selama dua jam, Dr Fatris meluangkan masa untuk menerangkan tentang hukum-hakam serta fatwa yang menyentuh soal anak angkat dan titipan.

Ini termasuk isu sensitif seperti batasan aurat anak itu sendiri dengan keluarga angkat atau titipan mereka.

"Kamu sering berlegar-legar dalam rumah. Masuk dapur jumpa, keluar dapur jumpa, masuk bilik dia ada. Kalau nak tutup 'strictly' macam di luar rumah, macam mana?" kata Dr Fatris.

Jawatankuasa fatwa berpendapat bahawa motif yang sama juga boleh diaplikasikan dalam isu anak angkat dengan keluarga angkatnya kerana sebab selalu berurusan, berhubungan ditambah lagi lebih-lebih lagi biasanya anak-anak angkat ini dijaga sejak mereka masih kecil lagi. Jadi ada hubungan emosi yang kuat.

Hubungan emosi kuat itulah yang kita lihat menjadi di antara sebab kenapa hukum dapat diringankan.

Dianjurkan oleh PPIS, sesi perbincangan ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan menerangkan dengan lebih mendalam tentang manfaat mengambil anak titipan.

Presiden PPIS, Rahayu Mohd berkata: "PPIS menyedari bahawa keluarga titipan adalah satu fenomena yang mungkin baru di kalangan masyarakat kita. Dan mungkin di situ ada kebimbangan dan keprihatinan dari sudut bagaimana keluarga titipan itu sendiri menjalankan interaksi mereka seharian dari sudut hukum- hakam dalam Islam. 

"Atas kesedaran itu kami merasakan bahawa di sana perlu untuk kita memberikan satu ketenangan bagi mereka dengan membawa mereka untuk sama-sama mendapatkan penjelasan supaya dapat memberikan keringanan bagi mereka untuk tampil ke hadapan menjalankan amanah ini."

Seorang peserta, Nur Aisyah Mohd Rashid turut memberikan pendapat: "Saya rasa sesi tadi telah membantu kami untuk memahami dari segi hukum syarat Islam perkara-perkara yang memudahkan kami untuk mengambil anak angkat dan titipan kerana banyak soalan sebelum ini yang kami ada yang terjawab sewaktu sesi ini seperti isu aurat, berbin dan berbintikan anak angkat apabila kami mengambilnya."

(Gambar-gambar: PPIS)

Sesi ini juga bertujuan memperkenalkan bakal ibu bapa titipan dengan khidmat-khidmat sokongan yang akan ditawarkan PPIS, selaku Agensi Skim Keluarga Titipan yang dilantik.

PPIS merupakan agensi ketiga yang dilantik Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Dijangka dibuka pada suku ketiga tahun ini, PPIS juga merupakan agensi Melayu/Islam pertama yang menyokong ibu bapa titipan dan penjagaan anak-anak titipan.

Sebagai permulaan, PPIS akan mendampingi masyarakat agar mereka tampil menjadi ibu bapa titipan, selain menyediakan program latihan dan sokongan kepada keluarga titipan.

Lebih 100 peserta yang terdiri daripada ibu bapa titipan dan bakal ibu bapa titipan menghadiri sesi perbincangan tadi. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan