Images
  • charity golf

Golf amal kumpul $150,000 untuk biaya sara hidup, pertingkat keupayaan kakitangan & relawan Muhammadiyah

SINGAPURA: Sebanyak $150,000 berjaya dikumpulkan dalam Pertandingan Golf Amal anjuran Persatuan Muhammadiyah hari ini (22 Apr).

Menerusi acara jamuan makan malamnya yang sedang berlangsung sekarang, ia berharap dapat mencapai sasaran sebanyak $200,000.

Dana terkumpul akan disalurkan ke dua institusi kebajikannya bagi membiayai kos operasi seharian, selain meningkatkan lagi keupayaan para kakitangan serta sukarelawannya. Pertandingan Golf Amal anjuran Persatuan Muhammadiyah ini disertai 120 orang.

Di kalangan mereka, tetamu terhormat Menteri Kanan Emeritus Goh Chok Tong, yang memulakan pertandingan dengan pukulan pertama.

"Saya dengan teman-teman semua rasa gembira kerana sedikit sebanyak dapat membantu dalam acara ini, lebih-lebih lagi kerana ia adalah untuk tujuan amal. Jadi kita berbesar hati dapat turut serta," kata salah seorang peserta, Shaifful Bahri Ismail.

Dana yang terkumpul mungkin kurang sedikit daripada sasaran $200,000, namun pihak penganjur yakin jumlah itu dapat dicapai menerusi acara makan malam amal, malam ini.

"Kami akan adakan lelongan amal di mana lukisan-lukisan anak-anak RKM akan dilelong dan insya-Allah ini akan menaikkan lagi semangat para penderma kami untuk terus menabur bakti kepada kami," menurut Ahli Jawatankuasa Pengurusan Persatuan Muhammadiyah Dr Mariam Aljunied.

Jumlah terkumpul akan disalurkan ke Pusat Kesihatan dan Penjagaan Siang Hari bagi warga emas (MHCC) dan Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM).

Kedua-dua institusi itu kini membantu lebih 200 warga senja serta golongan kanak-kanak dan belia yang memerlukan.

"Salah satu tumpuan utama kami adalah untuk memperkasakan kedua-dua institusi itu. Dan dua caranya - yang pertama, untuk memperbaiki lagi tahap profesionalisme dan keupayaan para kakitangan dan juga sukarelawan yang berkhidmat untuk kedua-dua pertubuhan itu. Jadi kami mahu melakar dan menjalankan program latihan, peningkatan profesional dan juga latihan-latihan yang khusus," Dr Mariam memberitahu BERITAMediacorp.

Dana itu juga ingin digunakan bagi meluaskan lagi jangkauan sokongan MHCC kepada lebih ramai warga emas yang memerlukan.

Bagi RKM pula - program-program yang lebih khusus bagi kanak-kanak di bawah usia 13 tahun, memandangkan bilangan mereka yang memerlukan bantuan serta khidmat pemulihan kian bertambah.  

- BERITAMediacorp/nk

Top