Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Gaji sebenar tumbuh 1.9% setahun, lebih pantas dari pertumbuhan daya penghasilan

Pertumbuhan gaji sebenar mengatasi peningkatan daya penghasilan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, menurut Menteri Negara Perdagangan dan Perusahaan Koh Poh Koon pada Rabu (11 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Gaji sebenar tumbuh 1.9% setahun, lebih pantas dari pertumbuhan daya penghasilan

Dr Koh Poh Koon di Parliament pada Julai 2018 (Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 11 Jul 2018 03:02PM Dikemas Kini : 11 Jul 2018 03:07PM

SINGAPURA: Gaji sebenar pekerja Singapura meningkat sejajar dengan pertumbuhan daya penghasilan sepanjang dua dekad yang lalu. Namun peningkatan itu mengatasi pertumbuhan daya penghasilan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, menurut Menteri Negara Perdagangan dan Perusahaan Koh Poh Koon pada Rabu (11 Jul).

Semasa menjawab pertanyaan AP Saktiandi Supaat, Dr Koh menerangkan bahawa antara 2001 hingga 2017, gaji pekerja tumbuh 1.5 peratus setahun sementara daya penghasilan tumbuh 2.1 peratus setahun.

Namun antara 2011 hingga 2017, gaji pekerja tumbuh 1.9 peratus setahun manakala daya penghasilan tumbuh hanya 1.1 peratus setahun.

Menurut beliau, sektor-sektor utama domestik seperti binaan dan khidmat-khidmat lain menyaksikan pertumbuhan gaji lebih pantas daripada pertumbuhan daya penghasilan disebabkan oleh pasaran buruh yang ketat, lantas memacu pertumbuhan gaji.

Bagi sektor-sektor seperti pengilangan, borong serta kewangan dan insurans, kenaikan gaji meningkat sejajar dengan pertumbuhan daya penghasilan.

Meskipun demikian, gaji tumbuh lebih pesat daripada produktiviti dalam sektor seperti pengangkutan, penyimpanan dan penginapan.

Dr Koh berkata, dalam jangka masa panjang pertumbuhan gaji sebenar perlu sejajar dengan pertumbuhan daya penghasilan supaya ia berdaya tahan. Ini kerana perniagaan akan menghadapi risiko kehilangan daya saing dan mungkin terpaksa menutup operasi.

Maka itu menurut beliau, "amat penting" untuk terus berusaha meningkatkan daya penghasilan agar dapat mengekalkan daya saing Singapura di peringkat dunia dan terus memperbaiki gaji dan taraf kehidupan rakyat Singapura.

"Salah satu tunjang Rancangan Perubahan Industri adalah membantu syarikat-syarikat tingkatkan produktiviti dengan memanfaatkan teknologi agar syarikat dapat meraih lebih keuntungan sambil menangani tekanan kos," tambah Dr Koh.

Bantuan pemerintah menerusi skim peningkatan keupayaan dan daya penghasilan syarikat juga mula membuahkan hasil.

Menurut Dr Koh syarikat-syarikat yang memanfaatkan Geran Pembangunan Keupayaan (CDG) oleh Enterprise Singapore antara 2005 hingga 2012 mencatat pertumbuhan pendapatan purata 9.3 peratus.

"Pemerintah komited untuk terus bekerjasama dengan perusahaan dan kesatuan untuk membantu perusahaan tingkatkan penghasilan dan memastikan agar keuntungan yang diraih dikongsi dengan para pekerja menerusi gaji lebih tinggi."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan