Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Gabungan sekolah pada 2019: 5 perkara yang anda perlu tahu

Ini yang perlu anda tahu tentang penyusunan terbesar yang akan dilaksanakan di Singapura dalam tempoh sedekad.

Anggaran Waktu Membaca:
Gabungan sekolah pada 2019: 5 perkara yang anda perlu tahu

Pelajar Maktab Rendah Innova semasa menunggu keputusan peperiksaan. (Gambar: Monica Kotwani)

Diterbitkan : 20 Apr 2017 02:07PM Dikemas Kini : 20 Apr 2017 02:12PM

SINGAPURA: Kementerian Pendidikan (MOE) mengumumkan hari ini (20 Apr) sebanyak 14 sekolah rendah, enam sekolah menengah dan lapan maktab rendah akan digabungkan pada 2019.

Berikut ini yang perlu anda tahu tentang penyusunan terbesar yang akan dilaksanakan di Singapura dalam tempoh sedekad.

1) Mengapa perubahan itu perlu dilakukan sekarang?

Sebab utama ialah untuk memudahkan proses pemindahan pelajar yang dari lokasi berbeza ke sekolah di kawasan kejiranan yang berbeza.

Menurut MOE, permintaan bagi tempat dalam darjah satu di estet-estet matang semakin berkurangan. Ini menyebabkan adanya tempat yang berlebihan serta kurangnya kemasukan pelajar di beberapa sekolah.

Dalam pada itu, sekolah-sekolah baru mungkin perlu dibina di estet-estet perumahan yang baru untuk memenuhi permintaan lebih tinggi di kawasan itu.

Bagi maktab rendah (JC) pula, kemasukan pelajar sudah berkurangan sejak tahun 2014 disebabkan kadar kelahiran yang merosot.

Misalnya, kadar kelahiran rakyat Singapura dan Penduduk Tetap (PR) antara tahun 1993 dengan 2002 merosot dari sekitar 49,000 kepada 39,000, turun kira-kira 20 peratus.

Kemasukan pelajar ke maktab rendah antara tahun 2010 dengan 2019 juga dijangka merosot 20 peratus, dari sekitar 16,000 kepada 12,800.

2) Apakah keadaan seumpama ini pernah berlaku?

Ini adalah kali pertama JC digabungkan. Sebelum ini MOE pernah mengumumkan, enam buah sekolah rendah digabungkan pada 2015, lapan sekolah menengah digabungkan pada tahun 2016 dan 22 sekolah menengah digabungkan pada 2017 dan 2018.

3) Sekolah manakah yang terjejas?

Sekolah-sekolah rendah yang akan digabungkan ialah:

- Sekolah Rendah East View dan Junyuan, ditempatkan di Sekolah Rendah Junyuan.

- Sekolah Rendah Balestier Hill dan Bendemeer, ditempatkan di Sekolah Rendah Bendemeer.

- Sekolah Rendah Da Qiao dan Jing Shan, ditempatkan di Sekolah Rendah Jing Shan.

- Sekolah Rendah Damai dan East Coast, ditempatkan di Sekolah Rendah Damai.

- Sekolah Rendah Coral dan White Sands, ditempatkan di Sekolah Rendah White Sands.

- Sekolah Rendah Casuarina dan Loyang, ditempatkan di Sekolah Rendah Casuarina.

- Sekolah Rendah Cedar dan MacPherson, ditempatkan di Sekolah Rendah Cedar.

Sebuah sekolah rendah baru di Sengkang, Sekolah Rendah Fern Green, akan mula beroperasi pada 2018. Menurut MOE, ini bagi memenuhi permintaan yang tinggi untuk mendapatkan tempat di sekolah tersebut di estet berkenaan.

Sekolah-sekolah menengah yang akan digabungkan ialah:

- Sekolah Menengah Yuhua dan Shuqun, ditempatkan di Sekolah Menengah Yuhua.

- Sekolah Menengah East Spring dan East View, ditempatkan di Sekolah Menengah East Spring.

- Sekolah Menengah Hong Kah dan Jurongville, ditempatkan di Sekolah Menengah Jurongville.

Maktab Rendah yang akan digabungkan ialah:

- Maktab Rendah Anderson dan Maktab Rendah Serangoon di timur laut Singapura, dengan sekolah yang digabungkan bertempat di Maktab Rendah Anderson.

- Maktab Rendah Meridian dan Maktab Rendah Tampines di timur Singapura, dengan sekolah yang digabungkan bertempat di Maktab Rendah Meridian.

- Maktab Rendah Yishun dan Maktab Rendah Innova di utara Singapura, dengan sekolah yang digabungkan bertempat di Maktab Rendah Yishun.

- Maktab Rendah Pioneer dan Maktab Rendah Jurong di barat Singapura, dengan sekolah yang digabungkan bertempat di Maktab Rendah Pioneer.

4) Adakah dengan berkurangnya jumlah sekolah bermakna para guru akan kehilangan kerja?

Tidak. Tiada kakitangan sekolah yang diberhentikan.

Para guru yang mengajar di maktab rendah yang terjejas akan dikerahkan ke sekolah yang digabungkan atau dikerahkan semula - sama ada ke sekolah-sekolah lain atau ke ibu pejabat MOE.

Latihan dan sokongan akan disediakan untuk para guru yang dikerahkan mengajar di sekolah rendah atau menengah.

5) Apakah kesannya terhadap para pelajar di sebalik perubahan ini?

Penggabungan itu akan memberikan sekolah-sekolah "jisim genting" yang diperlukan untuk menawarkan program-program yang dapat memenuhi minat dan keperluan pelajar.

Bagi sekolah yang lebih kecil, program-program dan gabungan mata pelajaran yang disediakan mungkin terhad.

Oleh itu, penggabungan sekolah dijangka dapat menawarkan penerusan atau lanjutan mata pelajaran gabungan sedia ada dan pilihan kegiatan luar darjah (CCA), menurut MOE.

Empat maktab rendah yang terjejas - Serangoon, Tampines, Innova dan Jurong - akan berhenti mengambil pelajar tahun pertama mulai tahun depan untuk mengurangkan keperluan pelajar berpindah secara fizikal ke lokasi yang lain.

Sekalipun begitu, MOE menekankan ia akan dapat memenuhi pemintaan untuk mendapatkan tempat di JC setelah penggabungan itu dilaksanakan. 

Sumber : CNA/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan