Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Forum kesihatan MHPA galak pesakit ambil langkah proaktif tangani kencing manis

Forum kesihatan anjuran Persatuan Karyawan Jagaan Kesihatan Muslim (MHPA) menggalak para pesakit kencing manis mengambil langkah proaktif dalam menjaga kesihatan diri mereka. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Forum kesihatan anjuran Persatuan Karyawan Jagaan Kesihatan Muslim (MHPA) menggalak para pesakit kencing manis mengambil langkah proaktif dalam menjaga kesihatan diri mereka.

Forum itu, yang pertama seumpamanya oleh MHPA, diadakan di Wisma Geylang Serai pada Ahad (14 Okt) dalam suasana yang terbuka untuk mendekati lebih ramai orang awam. Ia juga dikendalikan dalam Bahasa Melayu, sempena menutup tirai acara Bulan Bahasa 2018.

Di acara itu, para doktor dari bidang berlainan yang memberi ceramah mengenai isu-isu yang biasa dihadapi pesakit kencing manis. Mereka termasuk Dr Zuraimi Mohamed Dahlan, Dr Sueziani Zainudin, Dr Jazlan Joosoph, Dr Mohamed Rosman, Dr Ubaidullah Shaik Dawood, Dr Faisal Abdul Aziz dan Dr Elly Sabrina Ismail.

Dr Fatimah Lateef bersama para doktor.

“Topik-topik yang diketengahkan adalah tentang rawatan kencing manis, kencing manis semasa mengandung, masalah gigi, mata dan buah pinggang yang dialami pesakit kencing manis. Senaman yang selamat untuk mereka juga dibincangkan. Dengan mendalami isu-isu yang berkaitan dengan kencing manis, kami harap ia dapat meningkatkan ilmu di kalangan orang awam, terutama sekali di kalangan orang Melayu kita,” kata Dr Zuraimi Mohamed Dahlan, Presiden MHPA.

BERTANGGUNGJAWAB ATAS KESIHATAN SENDIRI

Turut hadir di acara tersebut ialah Anggota Parlimen GRC Marine Parade, Dr Fatimah Lateef, yang menekankan pentingnya peranan individu dalam mengambil tanggungjawab atas status kesihatan diri mereka.

“Bagi mereka yang belum ada penyakit kencing manis, mereka harus prihatin dan pergi menjalani pemeriksaan saringan kesihatan. Ini adalah penting sebab kadang-kadang tidak ada gejala-gejala dan penyakit itu tidak menunjukkan tanda pada tahap-tahap permulaan. Bagi mereka yang ada penyakit kencing manis pula, mereka harus rajin memakan ubat, mengikuti pesan doktor-doktor yang mereka jumpa setiap bulan, atau setiap 2-3 bulan. Dan sementara itu walaupun mereka ambil ubat, mereka harus menjalankan gaya hidup sihat, cara pemakanan yang sihat dan juga ambil tahu dan pelajari tentang apakah isu-isu baru dalam menangani kencing manis,” kata Dr Fatimah Lateef.

Bagi melengkapi forum kesihatan tersebut, acara yang dinamakan Lumba Sihat anjuran Geng Sihat juga dijalankan serentak.

Melalui cabaran ala ‘Amazing Race’, para peserta mengunjungi setiap gerai secara berkumpulan dan mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti yang disediakan.

Gerai-gerai tersebut bertujuan untuk memperkasa para peserta dengan ilmu serta kemahiran dalam cara-cara menangani penyakit kencing manis.

KENCING MANIS TIDAK BERERTI TIADA HARAPAN

Salah seorang peserta forum tersebut ialah Hamid Bin Omar, 50 tahun, yang jika dahulu mempunyai berat badan 120kg, kini merupakan seorang jurulatih kecergasan peribadi secara bebas.

Sejak menghadapi serangan jantung pada tahun 2013, Encik Hamid yang juga mengalami masalah kegemukan dan penyakit kencing manis ingin menggalak mereka yang mempunyai masalah yang sama sepertinya mengamalkan senaman.

“Sebelum ini memang saya tak minat langsung membuat senaman, hanya bila saya mendapat penyakit jantung. Dan selepas saya pulih, saya disarankan oleh doktor untuk turunkan berat badan. Dari situ dengan bantuan isteri saya, kami mencari cara-cara untuk mengubah gaya hidup saya. Dan acara seperti ini boleh membantu orang yang seperti saya untuk mempelajari bagaimana untuk menangani penyakit kronik,” kata Encik Hamid yang juga seorang ahli kumpulan Geng Sihat.

Seorang lagi peserta acara tersebut ialah Mariyam Binte Mahmood yang berjaya menurunkan berat badan sebanyak 20kg dalam masa dua tahun demi keluarganya.

“Sebelum menyertai Geng Sihat, berat badan saya hampir 80kg. Melalui acara informatif seperti ini serta program-program lain, saya sekarang lebih aktif. Kini saya melakukan Zumba setiap hari minggu. Motivasi itu saya dapat dari kakak saya sendiri yang mendorong saya untuk memulakan senaman kerana kedua ibu bapa saya menghadapi penyakit kencing manis. Jadi dari situ, saya cuba mengelakkan dari termasuk dalam golongan seperti mereka,” kata Cik Mariyam.

Sekitar 250 orang awam menyertai acara kesihatan tersebut.  

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan