Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Farhana M Noor, Cef Bob dan Bakti Khair dilantik Duta Bulan Bahasa terbaru

Tiga Duta Bahasa baru diperkenalkan sewaktu sidang media Bulan Bahasa yang berlangsung di Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) pada Jumaat (13 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Farhana M Noor, Cef Bob dan Bakti Khair dilantik Duta Bulan Bahasa terbaru

Bakti Khair(kiri), Farhana M Noor (tengah) dan Chef Bob (kanan) yang baru dilantik sebagai Duta Bahasa (Gambar: Fariza Abdul Aziz/BERITAMediacorp)

SINGAPURA: Tiga Duta Bahasa baru diperkenalkan sewaktu sidang media Bulan Bahasa yang berlangsung di Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) petang tadi (13 Jul).

Kesemuanya merupakan personaliti yang menghiasi kaca televisyen namun dalam bidang yang berbeza-beza.

Mereka ialah pelakon dan pengacara Farhana M Noor, penyanyi dan penulis lagu Bakti Khair serta tukang masak selebriti Shahrizal Salleh, atau lebih dikenali sebagai Cef Bob.

Kempen Bulan Bahasa 2018, yang akan berlangsung sepanjang sembilan hujung minggu mulai 18 Ogos ini, bakal lebih rancak dengan sokongan beberapa badan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) yang baru.

Antaranya termasuk MAEC Kelab-kelab Masyarakat Braddell Heights, Tampines Changkat, Marsiling dan Hillview.

Sempena meraikan titik tolak penting penganjuran Bulan Bahasa selama 30 tahun sejak ia mula diadakan pada 1988, kegiatan-kegiatan mahupun unsur-unsur lalu yang popular akan disingkap dihidupkan semula dengan suntikan elemen-elemen lebih segar.

Misalnya, lagu tema 'Bahasa Menjunjung Budaya' karangan Allahyarham Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad dan digubah oleh Cikgu Abdolah Lamat disusun semula oleh artis-artis tempatan yang juga Duta Bahasa, Imran Ajmain serta Taufik Batisah.

Buat julung-julung kalinya juga, lagu tersebut didatangi dengan sebuah gerak tari untuk meningkatkan keseronokan orang ramai dalam menghayati bahasa dan budaya Melayu.

Semua pengunjung yang datang memeriahkan pelancaran Bulan Bahasa di Wisma Geylang Serai pada 1 September nanti akan diajak melakukan gerak tari tersebut secara beramai-ramai ala-ala 'flash mob'.

Video gerak tari tersebut kini boleh ditonton di laman Facebook dan Youtube Majlis Bahasa Melayu Singapura serta Instagram Bulan Bahasa.

Jadi ayuh, renggangkan otot anda dan sama-sama pelajari gerak tari Bulan Bahasa untuk menyambut kempen yang bakal menjelang itu!

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan