Images
  • muhamad ridhwan
    Gambar: NTUC FairPrice.

FairPrice taja petinju negara Muhamad Ridhwan buru gelaran Kelas Super Bantam IBO

SINGAPURA: NTUC FairPrice hari ini (14 Jun) mengumumkan tajaan rasmi bagi petinju Singapura, Muhamad Ridhwan Ahmad.

Syarikat tempatan itu akan menaja Ridhwan, sedang beliau berusaha menjadi rakyat Singapura pertama untuk memenangi Kejuaraan Dunia Kelas Super Bantam Pertubuhan Tinju Antarabangsa (IBO).

"Saya sangat berbesar hati dapat mewakili Singapura bagi pertarungan kejuaraan dunia akan datang dan bersyukur kerana menerima tajaan dari FairPrice, sebuah pertubuhan yang sebati dengan diri saya, seperti juga rakyat Singapura yang lain," kata Ridhwan.

Sesi-sesi latihan petinju kebanggaan negara itu akan dibiayai oleh NTUC FairPrice, termasuk membantu persiapan bagi kem latihan serta membiayai teman bertinju beliau dari rantau ini.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada FairPrice atas kepercayaan yang diberikan kepada ahli sukan tempatan dan usaha saya untuk menjadi juara tinju dunia yang pertama di Singapura.

"Saya akan berlatih dengan bersungguh-sungguh demi membanggakan Singapura," tambah Ridhwan.

NTUC FAIRPRICE SOKONG SUKAN TEMPATAN

Selain itu, NTUC FairPrice juga merupakan penaja utama kejuaraan antarabangsa IBO itu.

Dikenali sebagai Roar of Singapore V, termasya berkenaan dianjurkan oleh Ringstar yang berpangkalan di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ringstar Scott Patrick Farell melahirkan penghargaan kepada NTUC FairPrice atas tajaannya itu.

"Sebagai sebuah syarikat yang ditubuhkan di Singapura, dengan minat mendalam untuk membangunkan petinju tempatan, kami teruja dengan sumbangan pertubuhan Singapura yang turut berkongsi minat yang sama," kata beliau.

Sejak sekian lama, NTUC FairPrice memang giat menyokong sukan dan nilainya dalam menyatukan rakyat Singapura.

Ini termasuk menaja acara-acara seperti Sukan Olimpik Belia dan Sukan Asia Tenggara serta bakat muda yang mewakili Singapura di persada dunia.

"Kami menyokong Ridhwan dan menggalak semua rakyat Singapura untuk memberinya kata-kata perangsang sedang beliau berusaha memenangi kejuaraan dunia itu," ujar CEO NTUC FairPrice Seah Kian Peng.  

- BERITAMediacorp/sm

Top