Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

ExxonMobil buka loji baru di S'pura - loji kogenerasi ke-3

Syarikat gergasi minyak Amerika Syarikat, ExxonMobil, secara rasmi membuka loji kogenerasinya di Singapura hari ini (12 Okt), bagi membantu meningkatkan kecekapannya menggunakan tenaga di loji penapisan minyak di Jurong.

Anggaran Waktu Membaca:
ExxonMobil buka loji baru di S'pura - loji kogenerasi ke-3

(Gambar: ExxonMobil Asia Pacific)

Diterbitkan : 12 Oct 2017 07:46PM Dikemas Kini : 12 Oct 2017 07:49PM

SINGAPURA: Syarikat gergasi minyak Amerika Syarikat, ExxonMobil, secara rasmi membuka loji kogenerasinya di Singapura hari ini (12 Okt), bagi membantu meningkatkan kecekapannya menggunakan tenaga di loji penapisan minyak di Jurong.

Loji 84-megawat itu menggunakan gas asli dan sisa haba dari loj penapisan minyaknya, untuk menjana tenaga telektrik dan tenaga wap untuk menghidupkan loji jana kuasa. Ia menggantikan dua dandang (boiler) yang lebih tua dan kini kurang cekap.

Loji kogenerasi itu akan menghasilkan cukup tenaga elektrik untuk memberi bekalan tenaga kepada 150,000 buah flat empat bilik HDB, dan mampu meningkatkan kecekapan tenaga sehingga lima peratus, menurut ExxonMobil.

Kaedah ini juga mengurangkan pengeluaran gas karbon dioksida dengan sebanyak 265 kiloton. Ia bersamaan langkah menarik balik lebih daripada 90,000 kereta daripada jalan raya Singapura, jelas ExxonMobil.

"Teknologi kogenerasi adalah huraian kecekapan tenaga untuk kemudahan-kemudahan yang memerlukan tenaga haba dan kuasa elektrik," kata Ketua Pegawai Eksekutif, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Ronnie Tay.

"Pelaburan ExxonMobil dalam teknologi seperti ini akan membawa penjimatan dan pengurangan pengeluaran karbon dioksida."

Berucap di majlis pembukaan tadi, Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Encik Masagos Zulkifli berkata kemudahan seperti ini menyumbang kepada ikrar Singapura di bawah perjanjian perubahan iklim Paris untuk mengurangkan pengeluaran gas yang menyebabkan kesan 'rumah hijau', menjelang tahun 2030.

Oleh itu, Singapura harus terus mengikut rentak perubahan ekonomi global yang memberi penekanan kepada pembangunan mampan, tambah Encik Masagos.

Beliau turut menyebut China sebagai sebuah negara yang memimpin dalam bidang ini.

Menyentuh hakikat bahawa dunia sudah meraih "bonus daya penghasilan tenaga" sebanyak AS$2.2 trilion (S$2.98 trilion) kerana peningkatan pada kecekapan tenaga pada tahun 2016, Encik Masagos berkata China menyumbang separuh daripada jumlah itu.

China juga melabur lebih daripada AS$100 bilion (S$135 bilion) dalam usaha tenaga mampan, berbanding hanya AS$3 bilion, 10 tahun lalu, kata Encik Masagos. Beliau menambah, Beijing juga akan melaksanakan skim dagangan nasional bagi pelepasan gas rumah hijau, pada akhir tahun ini.

Singapura sendiri akan mula menguatkuasakan cukai karbon mulai tahun 2019. Pendapatan dari cukai karbon ini akan disalurkan kepada usaha membantu industri-industri melaksanakan inisiatif-inisiatif untuk mengurangkan pengeluaran gas.

"Kami sedar pihak industri bimbang akan kesan cukai karbon itu terhadap daya persaingan masing-masing, memandangkan ekonomi Singapura berpaksikan eksport," kata Encik Masagos. Lantaran itulah, syarikat-syarikat mesti terus perlu memikirkan cara-cara untuk terus berdaya saing, tambah beliau.

"Langkah-langkah yang kita lakukan akan memudahkan peralihan Singapura ke arah pertumbuhan yang cekap dari segi tenaga dan rendah karbon," ujar Encik Masagos.

ExxonMobil merupakan salah satu pelabur asing terbesar di Singapura dengan pelaburan aset tetap bernilai lebih dari S$20 bilion. Syarikat bersekutunya, ExxonMobil Asia Pacific, juga mempunyai kemudahan pengilangan termasuk operasi penapisan dan loji petrokimia di Pulau Jurong.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan