Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Esa Han Hsien Masood dilantik Ketua Eksekutif baru MUIS mulai 1 Jan 2019

Encik Esa Masood akan dilantik sebagai Ketua Eksekutif (CE) baru Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) berkuat kuasa 1 Januari 2019, bagi menggantikan CE sekarang, Encik Abdul Razak Hassan Maricar.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Encik Esa Masood akan dilantik sebagai Ketua Eksekutif (CE) baru Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) berkuat kuasa 1 Januari 2019, bagi menggantikan CE sekarang, Encik Abdul Razak Hassan Maricar.

Encik Esa, 39 tahun, yang mula menyertai badan berkanun itu pada Oktober 2017, sekarang ini adalah salah seorang daripada dua Timbalan CE MUIS - jawatan yang disandangnya sejak Disember 2017. Seorang lagi Timbalan CE ialah Dr Albakri Ahmad.

Encik Abdul Razak melepaskan jawatan itu, yang dipegangnya selama lima tahun sejak 7 Ogos 2013, kerana akan bersara daripada Perkhidmatan Awam pada 31 Disember 2018.

Perubahan pucuk pimpinan itu diumumkan secara rasmi oleh MUIS dalam satu kenyataan media hari ini (3 Dis). Pada April tahun ini, BERITAmediacorp sudahpun mendedahkan bahawa Encik Esa dijangka mengambil alih jawatan Ketua Eksekutif MUIS.

Dalam satu wawancara menjelang persaraannya daripada Pemerintah, Dr Yaacob Ibrahim mengakui bahawa "pembaharuan kepimpinan sedang berlaku" di MUIS dan "insya Allah, Esa (Han Hsien Masood) akan ambil alih (MUIS)".

ESA TERIMA PELANTIKAN DENGAN "PENUH RENDAH HATI"

Mengulas tentang pelantikannya dalam satu rakaman video berbahasa Melayu yang dikirimkan MUIS, Encik Esa berkata: "Saya dengan penuh rendah hati menerima tanggungjawab ini. Pelantikan sebagai ketua eksekutif bagi saya adalah suatu yang mencabar untuk meneruskan kerja-kerja cemerlang Haji Abdul Razak dan para pemimpin MUIS terdahulu yang telah membina asas kukuh bagi organisasi ini."

Beliau merupakan penerima biasiswa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (PSC) dan menjadi seorang Pegawai Pentadbiran (AO) sejak 2009. Sebelum menyertai MUIS, Encik Esa pernah bertugas di beberapa kementerian seperti Kementerian Pendidikan (MOE) dan Kementerian Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI).

Ayah dua orang anak itu datang dari latar belakang keluarga kacukan Melayu/Cina. Lantaran itulah nama penuhnya ialah 'Esa Han Hsien Masood'.

Beliau menyifatkan pelantikan itu sebagai "satu peluang" bagi beliau untuk terus berkhidmat kepada masyarakat Islam Singapura.

AZAM PERKUKUH KEHIDUPAN BERAGAMA MASYARAKAT MELAYU/ISLAM

Encik Esa, menerusi kenyataan media MUIS, juga berikrar bahawa badan penguasa Islam itu akan bekerjasama dengan masyarakat Muslim menerusi pelbagai platformnya demi "memperkukuh kehidupan beragama masyarakat (Melayu/Islam)".

"Kami juga berharap untuk terus memperkuat ikatan dengan masyarakat-masyarakat agama lain sebagai sebahagian daripada negara Singapura yang berbilang kaum dan berbilang budaya, yang kami sangat hargai."

Encik Esa turut memberi sanjungan kepada CE sekarang. Beliau melahirkan rasa sangat bertuah mendapat bimbingan daripada Encik Abdul Razak yang luas pengalaman, selain juga mendapat manfaat daripada Mufti dan Pengurusan Kanan MUIS."

RAZAK MARICAR: MUIS SUDAH MANTAPKAN SEGALA PROGRAM, PROSESNYA

Dalam ulasannya mengenai peralihan pucuk pimpinan MUIS, Encik Abdul Razak, 64 tahun, menekankan bahawa perancangan penggantian pucuk pimpinan badan itu sentiasa menjadi keutamaan.

"Selama bertahun-tahun, MUIS sudah memantapkan dan memperkukuh segala proses dan programnya, serta menjalin hubungan rapat dengan rakan-rakan, pemegang taruhannya dan masyarakat.

"Untuk meneruskannya, MUIS perlu mengekalkan sebuah pasukan yang kuat, mendapatkan bakat-bakat baru di semua peringkat dalam badan ini (MUIS). Saya yakin dengan kakitangan saya, khususnya pasukan pengurusan yang sudah MUIS bina," komen Encik Razak menerusi siaran media MUIS itu.

Beliau menyertai Perkhidmatan Awam pada tahun 1975 dan pernah berkhidmat di Mahkamah Syariah pada tahun 1996, dan Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Sukan (MCYS).

Beliau memulakan kerjaya Perkhidmatan Awamnya dalam kerja sosial sebelum beralih kepada kerja-kerja berhubung masyarakat Islam.

Encik Abdul Razak menyertai MUIS sebagai Setiausaha pada tahun 2007 dan menyelia banyak inisiatif penting termasuk pindaan perundangan kepada Akta Pentadbiran Hukum Islam (AMLA) dan Peraturan Perkahwinan dan Perceraian Muslim pada tahun 1999.

LATAR BELAKANG LANJUT ESA MASOOD

Encik Esa mempunyai Sarjana dalam Kejuruteraan Elektrikal dan Sains Komputer dan Sarjana Muda dalam Kejuruteraan dan Sains Komputer dari Institut Teknologi Massachusetts (MIT), Amerika Syarikat.

Beliau pernah memegang jawatan sebagai Pengarah di Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak (ECDA) sebelum dinaikkan pangkat dan berpindah ke MUIS pada Oktober 2017.

Di MUIS, Encik Esa menyelia sektor pembangunan madrasah sepenuh masa, masjid, serta pendidikan Islam di Singapura.

Lapan bulan lalu - iaitu awal bulan April tahun ini - BERITAmediacorp pernah bertanyakan sendiri kepada Encik Esa tentang siapakah yang bakal memegang jawatan nombor satu di MUIS itu. Beliau tergamam seketika dan ketawa dengan soalan tersebut. Kemudian dengan ringkas Encik Esa menjawab: "Akan diumumkan nanti."

Pengumuman rasmi yang dibuat hari ini, semestinya bermakna masyarakat akan mendengar lebih banyak lagi idea-idea baru daripada Encik Esa pada hari-hari mendatang. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan