Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Eropah tetap destinasi percutian rakyat S'pura meski terdapat ancaman serangan pengganas

Meskipun berlakunya pergolakan dan bencana di luar negara, rakyat Singapura tetap meneruskan hasrat untuk melancong, menurut beberapa agensi pelancongan.

Anggaran Waktu Membaca:
Eropah tetap destinasi percutian rakyat S'pura meski terdapat ancaman serangan pengganas

Dynasty Travel di acara pelancongan NATAS yang bertempat di Pusat Konvensyen Suntec City. (Gambar: Najeer Yusof/TODAY)

Diterbitkan : 12 Aug 2017 09:38AM Dikemas Kini : 12 Aug 2017 09:44AM

SINGAPURA: Meskipun berlakunya pergolakan dan bencana di luar negara, rakyat Singapura tetap meneruskan hasrat untuk melancong, menurut beberapa agensi pelancongan.

Malah, Eropah masih menjadi destinasi utama percutian, dedahnya.

Sekitar 17,400 pengunjung menghadiri acara Persatuan Ejen Pelancongan Singapura (NATAS) di Suntec City pada Jumaat (11 Ogos) semasa ia dibuka.

Daripada beberapa ejen yang ditemui pihak Mediacorp, hanya satu saja yang menyatakan tempahan awal bagi destinasi popular Juizhaigou di China sudahpun dibatalkan menyusuli gempa di wilayah Sichuan pada Selasa.

Ejen-ejen lain masih menimbangkan sama ada untuk meneruskan dengan lawatan tersebut.

Beribu-ribu pelancong sudahpun menempah percutian ke Sichuan dengan CTC Travel, EU Asia Holidays dan Dynasty Travel dalam masa beberapa bulan akan datang, dan beberapa agensi turut memberitahu Mediacorp bahawa pihaknya akan menawarkan alternatif bagi pelanggan mereka jika perlu.

Semasa acara tiga hari itu, sekitar 80 agensi menawarkan pakej percutian. Mereka yang ditemui pihak Mediacorp juga menyatakan permintaan bagi percutian ke Eropah masih tinggi meskipun terdapat lebih banyak ancaman serangan pengganas di destinasi seperti London, Paris, Brussels dan Istanbul.

Cik Alicia Seah, 52, pengarah perhubungan awam dan komunikasi di Dynasty Travel, mengatakan kehidupan diteruskan seperti biasa bagi ramai pelancong.

Encik Wong Yew Hoong, 41, pengarah EU Holidays pula berkata kejadian yang berulang itu membuat orang ramai merasakan bahawa serangan sedemikian adalah "lumrah" dan bahawa mereka sedar mereka harus meyakini keselamatan di lokasi-lokasi berkenaan.

Agensinya juga mempunyai dua kumpulan lawatan di luar negara semasa serangan Paris dua tahun lalu dan apabila serangan di Jambatan London berlaku awal tahun ini. Bagaimanapun, para pelancong tidak terjejas oleh insiden itu, katanya, dan masih menyarankan destinasi-destinasi itu kepada rakan-rakan mereka.

Cik Sylvia Tan, naib presiden pemasaran dan perhubungan awam di CTC Travel, menarik perhatian bahawa bandar-bandar di bahagian tengah Eropah, seperti London dan Paris, popular di kalangan golongan muda, yang melakukan lawatan mereka yang pertama kali ke sana.

Bagi mereka yang sering melancong, khususnya bagi golongan pertengahan usia, terdapat permintaan yang kian meningkat bagi destinasi-destinasi seperti Turki dan negara-negara Mediterranean.

EU Holidays juga menyaksikan pasaran yang lebih besar bagi bahagian tenggara Eropah, terutama sekali Romania dan Croatia sejak beberapa tahun lalu, dan 20 kumpulan akan berangkat ke destinasi tersebut dalam masa dua bulan akan datang. 

Sumber : Today/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan