Images
  • container vessel
    Kapal kontena dekat pelabuhan Singapura. (AFP/Roslan Rahman)

Eksport S'pura bangkit semula pada April selepas 2 bulan menguncup

SINGAPURA: Eksport Singapura bangkit semula pada bulan April selepas mengalami penguncupan selama dua bulan. Bagaimanapun, penghantaran barangan elektronik terus merosot, menurut perangkaan terkini yang dikeluarkan hari ini (17 Mei).

Eksport domestik bukan minyak Singapura (NODX) tumbuh 11.8 peratus bulan lalu, selepas merosot 3.2 peratus pada bulan Mac dan 6 peratus pada Februari, menurut agensi perdagangan Enterprise Singapore.

Penghantaran barangan elektronik turun 6.9 peratus pada April, menyusuli penguncupan 7.5 peratus pada bulan sebelumnya. Komponen-komponen komputer peribadi (PC), litar bersepadu (IC), dan diod serta transistor masing-masing merosot 42.5 peratus, 5.5 peratus dan 20 peratus, dan ia menyumbang paling banyak kepada kemerosotan eksport elektronik.

Pengiriman barangan bukan elektronik berkembang 19.6 peratus, selepas susut 1.7 peratus pada bulan sebelumnya. Emas bukan wang, farmaseutikal, penyediaan makanan masing-masing melonjak 84.5 peratus, 43.7 peratus dan 140.6 peratus, menyumbang sebahagian besar kepada pertumbuhan eksport bukan elektronik.

Keseluruhannya, penghantaran kepada enam pasaran utama Singapura meningkat, dirangsang oleh pertumbuhan yang diterajui China, Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat. Pengiriman ke Taiwan, Korea Selatan, Malaysia dan Hong Kong jatuh.  

- CNA/AQ/aq

Top