Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Eddie Teo akan bersara dari jawatan pengerusi PSC pada 31 Julai

Antara sumbangan beliau sebagai pengerusi PSC, Encik Teo menggalak kepelbagaian dalam kepimpinan perkhidmatan awam, dan menganugerahkan biasiswa kepada lebih ramai penerima dari latar belakang dan sekolah yang berbeza-beza.

Anggaran Waktu Membaca:
Eddie Teo akan bersara dari jawatan pengerusi PSC pada 31 Julai

Encik Eddie Teo (kiri) akan bersara dari jawatan pengerusi PSC dan Encik Lee Tzu Yang (kanan) yang buat masa ini adalah timbalan pengerusi PSC. (Gambar: Eddie Teo, MHA)

Diterbitkan : 13 Jul 2018 03:04PM Dikemas Kini : 13 Jul 2018 03:09PM

SINGAPURA: Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (PSC) Eddie Teo akan bersara pada 31 Julai. Ini menurut Pejabat Perdana Menteri pada Jumaat (13 Julai).

Encik Teo menyandang jawatan sebagai pengerusi PSC pada 1 Ogos 2008 dan sudah berkhidmat selama hampir 50 tahun dalam perkhidmatan awam. Beliau akan digantikan oleh Encik Lee Tzu Yang, yang buat masa ini adalah timbalan pengerusi PSC, pada 1 Ogos.

Encik Lee menyandang jawatan sebagai timbalan pengerusi PSC sejak 2 Mei dan merupakan ahli Majlis Penasihat Presiden dan Suruhanjaya Perkhidmatan Undang-Undang Singapura. Beliau juga mempengerusikan lembaga The Esplanade Company Limited dan Universiti Teknologi Singapura.

Encik Teo juga merupakan pengerusi bagi beberapa pertubuhan lain seperti Majlis Presiden untuk Keharmonian Agama dan Dana Biasiswa Lee Kuan Yew. Pada tahun 2011 dan 2017, Encik Teo mempengerusikan Jawatankuasa Pilihan Raya Presiden.

PSC memilih dan membangunkan penerima biasiswa, melantik pengurusan kanan, dan menjaga disiplin dalam Perkhidmatan Awam Singapura.

Antara sumbangan beliau sebagai pengerusi PSC, Encik Teo menggalak kepelbagaian dalam kepimpinan perkhidmatan awam, dan menganugerahkan biasiswa kepada lebih ramai penerima dari latar belakang dan sekolah yang berbeza-beza.

Dalam suratnya, Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengucapkan terima kasih kepada Encik Teo kerana "menjalankan tugas dengan penuh dedikasi" dan "sumbangan yang tidak ternilai" kepada perkhidmatan awam. PM Lee turut mengenal pasti sektor-sektor utama yang menerima sumbangan besar Encik Teo, termasuk usaha gigihnya untuk mencapai kepelbagaian.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan