Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

E-buku perkenal cerita rakyat kepada generasi baru dilancar

Teknologi sebagai penghubung cerita-cerita rakyat dengan generasi muda dalam memupuk minat membaca menerusi kaedah pengajaran dan pembelajaran secara interaktif.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Teknologi sebagai penghubung cerita-cerita rakyat dengan generasi muda dalam memupuk minat membaca menerusi kaedah pengajaran dan pembelajaran secara interaktif.

Ini diusahakan dengan pembangunan aplikasi buku elektronik, ataupun e-buku, bertajuk 'Cerita-cerita Rakyat Nusantara' berperanan sebagai jambatan memperkenalkan cerita-cerita rakyat kepada generasi baru, yang dilancarkan semasa Ceramah Arif Budiman ke-12 pagi tadi.

Sebanyak enam cerita rakyat nusantara termasuk 'Kancil dan Buaya' dipilih bagi dimuatkan ke dalam aplikasi buku elektronik (e-buku) itu. Ia ditujukan kepada murid-murid darjah satu dan dua.

E-buku tersebut merupakan wadah penghubung dalam memperkenalkan warisan lisan dunia Melayu kepada generasi muda selain menanam minat membaca di kalangan pelajar.

Tetamu terhormat Encik Hawazi Daipi, yang merupakan Penasihat Pusat Bahasa Melayu Singapura (MLCS) menggariskan kepentingan menjana serta mempergunakan kaedah terkini dalam menarik minat golongan muda.

"Ini adalah satu usaha baik bagi melestari tradisi lisan Melayu yang kaya dengan nilai-nilai murni. Penyampaian cerita-cerita rakyat melalui e-buku ini adalah satu pendekatan yang sesuai dengan gaya pembelajaran generasi muda kita.

"Semoga usaha sebegini dapat disemarakkan agar kita dapat memperkaya khazanah bahan bacaan untuk generasi pewaris kita demi pengekalan jati diri masyarakat kita," ujar beliau.

Salah satu daya tarikan yang diselitkan di dalam aplikasi tersebut adalah permainan kosa kata serta fungsi rakaman.

Guru Pakar di MLCS, Muhd Rafi Abu Bakar, berkata: "Saya rasa yang menarik di sini ialah fungsi rakaman di mana pelajar-pelajar tersebut dapat merakam rakaman bacaan mereka, dan guru dapat memantau sama ada bacaan itu menarik atau tidak, baik atau tidak.

"Dan, ini juga menjadi cabaran untuk ibu dan ayah di rumah, mereka boleh gunakan untuk menguji sama ada anak mereka itu boleh baca atau tidak."

Keberkesanan pendedahan berstruktur kepada generasi muda itu juga membantu menanamkan nilai-nilai murni yang selaras dengan budaya Melayu.

Pelajar Sekolah Rendah Evergreen, Farisha Natasha Mohd Shahrom, berkata: "Saya pelajari bahawa kita harus bertanya seseorang untuk memastikan apa yang mereka buat adalah betul atau salah sebelum kita membuat keputusan."

PROF TATIANA: ORANG S'PURA TAK PERLU HASILKAN HARRY POTTER KEDUA

Dalam ceramahnya pula, Profesor Dr Tatiana Denisova daripada Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban di Universiti Teknologi Malaysia menekankan manfaat yang boleh dan seharusnya diraih dalam mengkaji teks-teks Melayu lama yang kaya dengan cerita-cerita nusantara.

Profesor Dr Tatiana Denisova di Ceramah Arif Budiman. (Gambar: Helmy Saat)

"Saya rasa orang Singapura tidak perlu menghasilkan Harry Potter yang kedua. Tapi, pemuda-pemuda Singapura kalau mereka lebih fokus kepada latar belakang dan khazanah persuratan alam Melayu, kerana Singapura daripada dulu sebelum pendirian Singapura oleh Raffles, dalam ratusan tahun, merupakan sebahagian daripada alam Melayu.

"Kalau generasi muda Singapura bermotivasi dan berinspirasi daripada khazanah persuratan mereka. Jadi, mesti mereka akan menghasilkan karya-karya lagi hebat daripada Harry Potter," kata Profesor Dr Tatiana.

Seramai lebih 100 orang menghadiri Ceramah Arif Budiman ke-12 siang tadi yang berlangsung di Pusat Bahasa Melayu Singapura.

Salah satu matlamat siri ceramah Arif Budiman adalah untuk masyarakat Melayu lebih mendalami ilmu serta pemahaman mereka tentang budaya dan bahasa Melayu.

Diharap dengan pembangunan aplikasi e-buku itu, generasi muda Singapura akan terangsang untuk lebih memperkasa serta mencintai bahasa dan budaya Melayu. 

(Gambar-gambar: Helmy Saat)

Sumber : BERITA Mediacorp/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan