Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Duta UAE alu-alukan kerjasama pelbagai bidang dengan dunia Melayu/Islam

Masyarakat rumpun Melayu/Islam dalam pelbagai bidang berpeluang meneroka lebih banyak kerjasama dan kolaborasi baru di Timur Tengah

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Masyarakat rumpun Melayu/Islam dalam pelbagai bidang berpeluang meneroka lebih banyak kerjasama dan kolaborasi baru di Timur Tengah.

Demikian disuarakan Duta Amiriah Arab Bersatu (UAE) Dr Mohd Omar Abdullah Balfaqeeh, semasa Konvensyen Dunia Melayu Dunia Islam ke-19 anjuran Jamiyah selaku sekretariat DMDI di Singapura.

Langkah itu dianggap tepat pada masanya sedang para pemimpin dunia mempromosikan ekonomi serantau yang bersifat terbuka dan inklusif sepanjang Sidang Puncak ASEAN berlangsung minggu lalu.

EKONOMI DIGITAL, INDUSTRI 4.0 CABARAN-CABARAN BESAR HARI MUKA

Sekitar 200 delegasi dari 13 negara anggota Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) - termasuk Brunei, China, Indonesia, Malaysia, Sri Lanka, Kemboja dan Afrika Selatan - berhimpun dalam satu konvensyen tahunan dengan matlamat memajukan serta mengukuhkan kesatuan mereka untuk memacu pembangunan rumpun bangsa Melayu beragama Islam.

Hal-hal itu dibincangkan menerusi penyampaian oleh barisan pemimpin serta pakar-pakar daripada pelbagai bidang di sebuah forum antarabangsa hujung minggu lalu, yang bertemakan 'Menuju Lebih Banyak Kerjasama Sosial, Ekonomi dan Kebudayaan'.

Mereka akur usaha perlu digiatkan untuk membuat penyesuaian dengan secepatnya bagi menghadapi cabaran-cabaran besar kelak khususnya dari segi ekonomi digital dan industri 4.0, yakni trend semasa yang menggunakan automasi serta pertukaran data dalam teknologi pengeluaran.

"Sebab itu kita mendedahkan jenis-jenis ekonomi berbentuk baru agar kita menceburinya lebih cepat terutamanya dalam bidang SME (syarikat kecil dan sederhana) yang merupakan satu bidang usahawan yang menyumbang kepada 99 peratus usahawan dunia dan ada 30 juta SME seluruh dunia," kongsi Dr Mohd Ali Mohd Rustam, Presiden DMDI.

SEKTOR HALAL UAE BERKEMBANG, PENDEDAHAN BAIK UNTUK SME

Dalam semangat itu, tetamu terhormat forum, Duta UAE ke Singapura, Dr Balfaqeeh, mengalu-alukan kerjasama antara negara anggota DMDI dengan negara dari dunia Arab khususnya dalam industri halal.

Disenaraikan Bank Dunia sebagai negara Arab nombor satu yang "mudah untuk melakukan perniagaan", UAE juga sebuah pusat Timur Tengah yang rancak dengan kegiatan-kegiatan perdagangan di samping menjadi destinasi utama bagi kebudayaan dan komersil.

Mentelah lagi, dengan sektor halalnya diramal berkembang melebihi $5.5 bilion menjelang 2022, ia pastinya satu pendedahan baik bagi rumpun bangsa Melayu/Islam mengejar ekonomi yang kian beranjak dan pesat tumbuh.

Di acara yang sama, dua memorandum persefahaman dimeterai termasuk antara Pure & Good Management Pte Ltd dengan SIM Professional Development (SIM PD).

"Mudah-mudahan satu kerjasama bukan sahaja dari sudut masyarakat Melayu tetapi kita harus membawa keseluruhan masyarakat untuk berjinak dan menjiwai halal dan halal itu membawa satu peluang ekonomi bagi Singapura dan di rantau ini," ujar Encik Zuraimi Jumaat, Pengarah Eksekutif Pure and Good Management Pte Ltd.

MOU itu memberi akses kepada pertukaran amalan dan latihan terbaik dalam industri halal global.

Jamuan malam pada Sabtu lalu (17 Nov), yang diserikan tetamu terhormat Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar Dr Mohamad Maliki Osman, menjadi acara kemuncak konvensyen DMDI tahun ini.

Dr Maliki menyampaikan beberapa anugerah pada malam itu kepada wakil-wakil anggota negara DMDI yang telah menyumbang kepada pembangunan sosial, kebudayaan dan ekonomi dunia rumpun Melayu/Islam.

Forum tiga hari pada hujung minggu lalu itu diadakan di Max Atria, Singapore Expo dan turut mempamerkan 30 astaka perdagangan berbilang negara. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan