Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dr Yaacob: Esa Han Hsien Masood dijangka ambil alih selaku Ketua Eksekutif baru MUIS

Esa Han Hsien Masood - itulah nama orang yang dijangka menjadi Ketua Eksekutif (CE) terbaru Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), bagi menggantikan CE sekarang yang disandang oleh Encik Abdul Razak Hassan Maricar.

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Yaacob: Esa Han Hsien Masood dijangka ambil alih selaku Ketua Eksekutif baru MUIS

Encik Esa Han Hsien Masood. (Gambar: BERITAMediacorp)

BERITAMediacorp: Esa Han Hsien Masood - itulah nama orang yang dijangka menjadi Ketua Eksekutif (CE) terbaru Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), bagi menggantikan CE sekarang yang disandang oleh Encik Abdul Razak Hassan Maricar.

Ini didedahkan sendiri oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim.

Dalam wawancara dengan beberapa wartawan di pejabatnya pada Selasa (24 Apr), menjelang persaraannya daripada jawatan Pemerintah, Dr Yaacob mengakui bahawa "pembaharuan kepimpinan sedang berlaku" di MUIS.

Beliau menambah bahawa "Insya Allah, Esa (Han Hsien Masood) akan ambil alih (MUIS)".

Encik Esa mula menyertai MUIS pada Oktober tahun lalu dan kini merupakan salah seorang daripada dua pegawai kanan yang memegang jawatan Timbalan Ketua Eksekutif di MUIS. Seorang lagi Timbalan CE ialah Dr Albakri Ahmad.

TRADISI BAWA MASUK BAKAT DARI SEKTOR PERKHIDMATAN AWAM

Pendedahan tersebut dibuat Dr Yaacob semasa menjawab soalan wartawan tentang penilaian beliau berhubung institusi-institusi utama masyarakat Melayu/Islam.

Merujuk mengenai MUIS, Dr Yaacob yang bertanggungjawab ke atas badan berkanun itu selaku Menteri Ehwal Masyarakat Islam berkata, beliau sentiasa mahu memanfaatkan bakat-bakat "yang terbaik dalam perkhidmatan awam".

Ini termasuklah mewujudkan satu sistem di mana ketua pegawai eksekutif MUIS boleh didatangkan dari perkhidmatan awam "agar MUIS boleh dikendalikan dengan baik", ujar Dr Yaacob.

"Jadi saya mulakan dengan Alami (Musa), kini kita ada Razak (Maricar) dan Insya Allah, Esa (Han Hsien Masood) akan ambil alih (MUIS)," kongsi Dr Yaacob.

Namun beliau tidak berkongsi bilakah peralihan kepimpinan di MUIS itu akan berlaku. Encik Razak Maricar pula akan genap lima tahun berkhidmat sebagai CE MUIS pada Ogos ini. Beliau mula memegang jawatan tersebut pada 7 Ogos 2013.

SIAPA ESA HAN HSIEN MASOOD?

Encik Esa yang berusia 39 tahun, merupakan bapa dua orang anak dan beliau datang dari latar belakang keluarga kacukan Melayu/Cina. Lantaran itulah nama penuhnya ialah 'Esa Han Hsien Masood'.

Beliau pernah memegang jawatan Pengarah di Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak (ECDA) sebelum dinaikkan pangkat dan berpindah ke MUIS pada Oktober 2017.

Awal bulan ini, BERITAMediacorp pernah bertanyakan sendiri kepada Encik Esa tentang siapakah yang bakal memegang jawatan nombor satu di MUIS itu. Beliau tergamam dan ketawa dengan soalan tersebut. Kemudian dengan ringkas Encik Esa menjawab: "Akan diumumkan nanti."

Penerima biasiswa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam itu sudah berkecimpung dalam sektor awam selama hampir 15 tahun di mana beliau pernah bertugas di beberapa kementerian termasuk Kementerian Pendidikan (MOE) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), khususnya dalam pembentukan dasar.

Kini, selaku Timbalan CE, lulusan Institut Teknologi Massachusettes (MIT) itu sedang memikul tanggungjawab menyelia sektor madrasah dan masjid di Singapura yang merangkumi enam madrasah sepenuh masa serta lebih 70 masjid di merata Singapura. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan