Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dr Ng sambut Mohamad Sabu ke S'pura semasa lawatan pengenalan

Menteri Pertahanan Dr Ng Eng Hen dan rakan sejawatannya dari Malaysia, Mohamad Sabu, pada Khamis (18 Okt) mengesahkan hubungan pertahanan dua hala yang lama terjalin antara kedua-dua negara semasa lawatan pengenalan Menteri Pertahanan Malaysia itu ke Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Ng sambut Mohamad Sabu ke S'pura semasa lawatan pengenalan

Menteri Pertahanan Malaysia Mohamad Sabu semasa memeriksa kawalan kehormatan di Kementerian Pertahanan. (Gambar: MINDEF)

Diterbitkan : 18 Oct 2018 11:14PM Dikemas Kini : 18 Oct 2018 11:21PM

SINGAPURA: Menteri Pertahanan Dr Ng Eng Hen dan rakan sejawatannya dari Malaysia, Mohamad Sabu, pada Khamis (18 Okt) mengesahkan hubungan pertahanan dua hala yang lama terjalin antara kedua-dua negara semasa lawatan pengenalan Menteri Pertahanan Malaysia itu ke Singapura.

Encik Mohamad, yang berada di Singapura dari hari ini hingga Sabtu (20 Okt), mengadakan pertemuan dengan Dr Ng di Kementerian Pertahanan (MINDEF) pada pagi tadi dan memeriksa kawalan kehormatan sebagai sebahagian daripada lawatannya, menurut MINDEF dalam satu kenyataan media.

Kedua-dua menteri itu menarik perhatian kepada "trajektori positif" dalam hubungan pertahanan dua hala serta mengesahkan kerjasama kedua-dua negara dalam pelbagai platform berbilang pihak di rantau ini, seperti Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM-Plus serta Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA).

Encik Mohamad juga melakukan lawatan ke Pusat Gabungan Maklumat di Pangkalan Tentera Laut Changi, di mana beliau berinteraksi dengan askar-askar Malaysia yang menyertai Latihan Bersama Lima.

Pada sebelah petang pula, Encik Mohamad melakukan lawatan ke Divisyen Ketiga Singapura di mana beliau diberikan taklimat mengenai Angkatan Bersenjata Singapura serta menyaksikan pameran aset tentera dan sistem senjata.

(Gambar: MINDEF)

Menteri pertahanan itu juga akan mengadakan pertemuan dengan Pemangku Perdana Menteri Teo Chee Hean pada Sabtu (20 Okt).

MENTERI-MENTERI PERTAHANAN BERTEMU

Encik Mohamad akan menghadiri ADMM ke-12 dan ADMM-Plus kelima, yang masing-masing dihoskan oleh Singapura pada esok (19 Okt) dan lusa (20 Okt).

Dr Ng akan menghoskan para menteri pertahanan dari Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dan lapan rakan negara - Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia dan Amerika Syarikat - semasa ADMM ke-12 dan ADMM-Plus kelima.

Selain Menteri Pertahanan Malaysia, Dr Ng juga menyambut kedatangan para pegawai dari Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam pada Khamis.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada para menteri itu atas sokongan padu mereka terhadap Singapura sebagai pengerusi ADMM 2018 serta mengesahkan hubungan pertahanan yang muhibah antara Singapura dengan negara-negara tersebut.

Pada sebelah pagi, Dr Ng mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Pertahanan China Jeneral Wei Fenghe, dan kedua-dua pemimpin membincangkan mengenai pentingnya China terus melibatkan diri dalam rantau ini.

Jeneral Wei juga mengalu-alukan lawatan Dr Ng ke China bagi Latihan Maritim ASEAN-China dan Forum Xiangshan Beijing yang kelapan.

Selain itu, Dr Ng juga mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat James Mattis di mana kedua-dua pemimpin membincangkan bagaimana memperkukuh hubungan dua hala, termasuk kerjasama bagi meningkatkan perkongsian maklumat risikan bagi membanteras pengganasan serantau.

Ini adalah kali kedua Singapura mempengerusikan ADMM sejak ia ditubuhkan pada tahun 2006. Ia adalah kali pertama negara ini menjadi pengerusi ADMM-Plus sejak penubuhannya pada 2010. 

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan