Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dr Mohammad Zaidi Ariffin terima anugerah tertinggi Palang Merah S'pura - Anugerah Belia Presiden

Diam tak diam, sudah 17 tahun Dr Mohammad Zaidi Bin Ariffin, bergiat aktif sebagai seorang sukarelawan dan aktivis belia.

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Mohammad Zaidi Ariffin terima anugerah tertinggi Palang Merah S'pura - Anugerah Belia Presiden

Dr Mohammad Zaidi Bin Ariffin. (Gambar: SRC)

SINGAPURA: Minatnya untuk membantu orang lain sudah dipupuk sejak usia remaja lagi. Malah, lama kelamaan, ia semakin mendarah daging dalam dirinya. Kini, diam tak diam, sudah 17 tahun Dr Mohammad Zaidi Bin Ariffin, bergiat aktif sebagai seorang sukarelawan dan aktivis belia.

Hari ini (11 Okt), beliau adalah salah seorang daripada enam individu yang menerima Anugerah Belia Presiden semasa majlis Anugerah Palang Merah Singapura (SRC) 2018. Anugerah itu disampaikan sendiri oleh Presiden Halimah Yacob. Ini adalah anugerah tertinggi bagi seseorang kadet Persatuan Palang Merah yang sumbangan serta pencapaiannya boleh dicontohi.

Lebih manis lagi, ini adalah kali pertama Dr Mohammad Zaidi diberi pengiktirafan atas sumbangan dan pencapaian beliau dalam bidang kesukarelawanan.

Lima penerima lain ialah Amanda Sim Shan Mei, Destya Kusuma Roem, Liu Chun Yi, Daryl Ee dan Jason Wo Kwok Fai. Anugerah disampaikan.

Dr Mohamad Zaidi Bin Ariffin. (Gambar: SRC)

Dr Mohammad Zaidi Bin Ariffin. (Gambar: SRC)

JADI RELAWAN DARI MENENGAH 1 SEHINGGA GENGGAM PHD

Semasa berusia 13 tahun, Dr Mohammad Zaidi memilih menyertai pasukan kadet sebagai kegiatan luar darjah (CCA) di sekolah.

Beliau memberitahu BERITAmediacorp, ketika menuntut di Raffles Institution, menyertai pasukan kadet menjadi pilihannya kerana ia mempunyai elemen kumpulan pakaian seragam serta kegiatan seperti bantuan rawatan kecemasan dan memberinya peluang untuk membantu masyarakat.

"Selepas itu saya teruskan dengan menyertai Persatuan Palang Merah. Persatuan ini dan Belia Persatuan Palang Merah memberi saya wadah untuk melakukan sesuatu yang baik untuk masyarakat, untuk menyumbang kembali," kata Dr Mohammad Zaidi, 30 tahun.

Sejak melibatkan diri dalam bidang tersebut, beliau tidak pernah memandang ke belakang. Ini meskipun semasa sibuk melanjutkan pengajian di Maktab Rendah Raffles (RJC) dan Universiti Teknologi Nanyang (NTU) sehinggalah beliau meraih ijazah Doktor Falsafah (PHD) baru-baru ini.

Dr Mohamad Zaidi Bin Ariffin (kiri). (Gambar: Dr Mohamad Zaidi Bin Ariffin)

Dr Mohammad Zaidi Bin Ariffin (depan, tiga dari kiri). (Gambar: Dr Mohammad Zaidi Bin Ariffin)

WAKILI S'PURA DI ASIA TENGGARA

Bakat kepimpinannya juga begitu menyerlah sehingga beliau pernah menerajui dua portfolio penting, iaitu RCY Youth Members @ District dan Rangkaian Belia Asia Tenggara mewakili belia Persatuan Palang Merah.

"Saya selalu mewakili Singapura menerusi pelbagai wadah atau di persidangan-persidangan dan acara serantau. Lazimnya untuk kami bekerjasama dalam rangkaian belia Asia Tenggara. Kami fikirkan tentang apakah aktiviti-aktiviti atau kempen yang boleh kami adakan secara bersama.

"Di Asia Tenggara apa yang kami lakukan adalah mengadakan program mendidik belia tentang bagaimana untuk mengurangkan risiko bencana serta kegiatan-kegiatan memperkasa belia," ujar Dr Mohammad Zaidi yang bertugas sebagai jurutera kajian di JTC Corporation.

Dr Mohamad Zaidi Bin Ariffin (depan, tiga dari kiri). (Gambar: Dr Mohamad Zaidi Bin Ariffin)

Dr Mohammad Zaidi Bin Ariffin (depan, tiga dari kiri). (Gambar: Dr Mohammad Zaidi Bin Ariffin)

"JANGAN TAKUT GAGAL"

Apabila ditanya tentang pengalaman yang sudah diraih, sepanjang menjadi kadet, wakil belia dan sukarelawan hampir dua dekad ini, beliau memberitahu BERITAmediacorp, sebenarnya anak-anak muda di Singapura, termasuk belia pendatang, ghairah mahu menyumbang kepada masyarakat.

"Semasa di Sidang Puncak Belia Kemanusiaan Singapura tahun lalu, saya melihat begitu ramai anak muda, begitu bersemangat mahu melakukan sesuatu untuk masyarakat dan mereka bertanya apa lagi yang boleh mereka lakukan untuk membantu masyarakat," tambah beliau.

Maka, khusus buat golongan belia yang mahu menyumbang kembali kepada masyarakat, ini nasihat Dr Mohammad Zaidi:

"Sebagai anak muda, anda perlu menimba seberapa banyak pengalaman dan berani mencuba idea-idea baru. Jangan takut gagal. Kegagalan itu adalah sebahagian daripada proses kehidupan seorang anak muda," kata anak bongsu tiga beradik itu dengan bersemangat.

Dr Mohamad Zaidi Bin Ariffin (depan, tengah). (Gambar: Dr Mohamad Zaidi Bin Ariffin)

Dr Mohammad Zaidi Bin Ariffin (depan, tengah). (Gambar: Dr Mohammad Zaidi Bin Ariffin)

YAKIN DI LANDASAN YANG BETUL

Yang pasti, anugerah yang diterimanya hari ini menjadi pemangkin semangat beliau untuk terus memainkan peranan dalam masyarakat.

"Anugerah ini satu pengiktirafan yang meyakinkan diri saya bahawa saya sudah melakukan sesuatu yang betul dan bermakna selama ini.

"Ia juga meyakinkan saya bahawa saya berada di landasan yang betul untuk meneruskannya pada masa akan datang," Dr Mohammad Zaidi memberitahu BERITAmediacorp.

Seorang lagi anak Melayu, Zaiton Mohd Tahir, diberi Anugerah Kepujian di atas khidmatnya  sebagai sukarelawan berdaftar di SRC.

Kesemuanya sebanyak 31 anugerah - 23 kategori individu dan lapan kategori korporat - disampaikan oleh Presiden Halimah Yacob di majlis yang diadakan di Red Cross House itu.

Anugerah Persatuan Palang Merah tahun ini adalah yang keenam diadakan dan ia mengiktiraf dedikasi serta khidmat para sukarelawan serta rakan-rakan SRC kepada masyarakat.

Di majlis itu juga, satu mural istimewa atau lukisan dinding sempena ulang tahun ke-70 SRC didedahkan kepada para hadirin.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan