Images
  • haryani othman 1
    Haryani Othman mengongsi kisah-kisah inspirasi dalam mengembangkan perniagaannya dalam Siri Kepintaran Berniaga yang bertemakan 'Anda Ingin Berjaya?' (Gambar: Fariza Abdul Aziz)

DPPMS & NLB anjur Siri Kepintaran Berniaga, galak golongan peniaga luaskan ilmu bisnes

SINGAPURA: Setelah berkecimpung di dalam industri media tempatan selama 11 tahun, pelakon televisyen yang juga seorang penulis, Haryani Othman, terjun ke bidang perniagaan pula.

Langkah berani itu diambil setelah jatuh cinta dengan idea dan potensi di sebalik mengendalikan sebuah wadah e-dagang memandangkan corak perniagaan serta pembelian kini kian condong ke arah "online".

Maka itu, dua tahun lalu, beliau menubuhkan KassimBaba International Pte Ltd yakni sebuah aplikasi perniagaan e-dagang. Wadah itu pada awalnya "dikerumuni" 120 perniagaan makanan dan minuman (F&B) serta pasaran pengurusan acara.

Kini, hampir 500 peniaga tempatan dalam industri F&B, runcit mahupun yang berjualan dari rumah, sudah memanfaatkan wadah e-dagang tersebut.

Ia mentelah lagi dengan peluang yang dianjurkan syarikat tersebut untuk membawa para peniaga di wadahnya keluar dari dunia maya ke festival perniagaan musiman agar mereka dapat menonjolkan produk serta khidmat masing-masing di samping meraih pengalaman berniaga secara lebih peribadi.

"Ramai orang ingatkan kalau berniaga atau jika anda memiliki sebuah perniagaan, itu satu benda yang 'glamour' tetapi bukan. Ia bukan glamour sahaja, ia bukan suatu yang senang. Ia adalah satu benda yang banyak susahnya, banyak benda yang harus dibuat, harus dilakukan," kongsi Cik Haryani yang memainkan peranan selaku pengarah pengurusan KassimBaba International Pte Ltd.

Kisah-kisah inspirasi dalam mengembangkan perniagaannya itu dikongsi Cik Haryani pada Rabu (10 Okt) dalam Siri Kepintaran Berniaga yang bertemakan 'Anda Ingin Berjaya?'.

Ia merupakan sebuah program baru hasil kolaborasi Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) dengan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB).

(Gambar: Fariza Abdul Aziz)

WADAH MENIMBA, BERKONGSI ILMU & PENGALAMAN PERNIAGAAN

Disasarkan kepada golongan karyawan niaga Melayu, baik yang mapan mahupun yang baru hendak bertunas, inisiatif tersebut bertujuan menyediakan wadah bagi mereka saling bertukar-tukar ilmu dan pengalaman dalam dunia perniagaan.

Lebih penting lagi, ia juga mahu meningkatkan kesedaran para peniaga dan usahawan akan ketersediaan sumber-sumber serta pangkalan data Melayu dalam pengurusan perniagaan di perpustakaan.

Sekali gus, menggalakkan penggunaan bahan-bahan tersebut sebagai rujukan mereka demi memperkukuhkan perniagaan masing-masing.

"Anggota perpustakaan juga boleh mengakses bahan-bahan ini secara percuma melalui aplikasi mudah alih NLB. Satu lagi adalah perpustakaan perniagaan digital yang boleh diakses melalui aplikasi 'overdrive'. Ia juga menyokong senarai bahan bacaan terancang yang selalunya bergabung dengan topik-topik yang sedang hangat selaras dengan era digital masa kini," kata Cik Zubaidah Mohsen, Ketua Kandungan dan Khidmat (Bahasa Melayu), NLB.

Sumber-sumber rujukan tertentu akan dikumpulkan oleh NLB mengikut tema setiap siri dan ia bakal disediakan semasa program tersebut buat pinjaman para hadirin.

"Ilmu adalah sesuatu yang sangat penting jadi kami berharap bahawa peniaga-peniaga dan anggota-anggota kami dapat memanfaatkan siri sebegini dan terus mempunyai sikap serta minda yang terbuka untuk menimba ilmu," ujar Encik Azrulnizam Shah, pengarah eksekutif DPPMS.

Siri pertama program berbahasa Melayu itu dianjurkan pada Rabu di NLB dengan sekitar 30 peniaga, meliputi anggota serta bukan anggota DPPMS, menghadirinya.

Di samping Haryani Othman, Encik Jamuri Busori iaitu pemilik tiga kafe popular - IAM.. , &why dan all in - turut diundang untuk berkongsi kisah jatuh bangunnya dalam dunia perniagaan yang diceburi selama lebih 20 tahun.

Siri seterusnya pada tahun depan akan menyasarkan kumpulan tertumpu seperti golongan peniaga yang berjualan dari rumah serta juga para pelajar yang ingin menjinak-jinakkan diri dalam industri perniagaan. 

- BERITAmediacorp/FZ/ai

Top