Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

DPM Teo: "Anda telah laksanakan tugas dengan penuh dedikasi"

Timbalan Perdana Menteri Teo Chee Hean mengucapkan terima kasih kepada para pegawai awam yang bertungkus-lumus menguruskan pelbagai aspek upacara persemadian Encik Lee Kuan Yew.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 31 Mar 2015 03:49PM Dikemas Kini : 31 Mar 2015 08:39PM

SINGAPURA: Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam, Teo Chee Hean mengucapkan terima kasih kepada para pegawai awam yang menguruskan pelbagai aspek persemadian Encik Lee Kuan Yew sepanjang minggu lalu.

Dalam nota yang dikirimkan kepada sekitar 141,000 pegawai awam yang berkhidmat di 16 kementerian dan lebih 50 badan berkanun, Encik Teo berkata, "Terima kasih kerana berganding bahu sebagai satu Perkhidmatan Awam yang teguh dan bersatu padu. Anda semua telah menjalankan tugas dengan penuh dedikasi, berkhidmat dengan cara yang benar-benar mencerminkan semangat kental Perkhidmatan Awam."

"Hujan lebat Ahad lalu gagal mematahkan semangat kita. Sebaliknya, ia mengeratkan kita dan menguatkan lagi azam untuk menjalankan tugas dengan sebaik mungkin. Para pegawai yang basah kuyup dengan keluarga mereka, berdiri teguh dalam keadaan hujan lebat untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Encik Lee. Kita semua bertafakur selama seminit, melafazkan ikrar bersama dan menyanyikan Lagu Kebangsaan sebagai rakyat yang bersatu padu."

"Sepanjang minggu lalu, ramai pegawai awam yang berpeluang untuk menyingkap semula kehidupan Encik Lee, nilai-nilai yang dipegang teguh oleh mendiang dan sumbangannya kepada Singapura. Ramai daripada mereka, khususnya para pegawai muda, kini menyedari bahawa tugas yang dijalankan mereka itu berkait rapat dengan visi Encik Lee."

Menurut Encik Teo, sanjungan dan penghormatan tertinggi yang boleh kita berikan kepada Encik Lee ialah dengan mempertahankan warisan mendiang dan mewujudkan Singapura yang lebih baik untuk semua rakyat. Majulah Singapura!

Sumber : CNA/aw
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan