Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Dian Bahasa' bantu guru, pelajar peroleh bahan bacaan, rujukan bermutu

Pusat Bahasa Melayu Singapura (MLCS) melancarkan satu penerbitan baru bagi rujukan guru-guru bahasa Melayu.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 21 May 2016 08:17AM Dikemas Kini : 21 May 2016 09:07AM

SINGAPURA: Pusat Bahasa Melayu Singapura (MLCS) melancarkan satu penerbitan baru bagi rujukan guru-guru bahasa Melayu.

Berjudul 'Dian Bahasa', ia mengandungi kertas-kertas kajian berasaskan bilik darjah dan uji cuba ke atas bahan pembelajaran di sekolah.

Kajian-kajian tersebut, yang disediakan oleh para pegawai MLCS, dilancarkan di Ceramah Arif Budiman. 'Dian Bahasa' diharap dapat dimanfaatkan oleh pensyarah, pembina kurikulum, guru dan pengkaji. 

Ia adalah sebahagian usaha MLCS untuk memastikan para guru dan pelajar mendapat bahan bacaan dan rujukan bermutu. Misalnya, bahan-bahan siri ceramah Arif Budiman yang lepas sudah dibukukan ke dalam tiga jilid.

Ceramah yang ke-13 semalam (20 Mei) disampaikan oleh Profesor Mikihiro Moriyama dari Universiti Nanzan, Jepun.

Setiausaha Parlimen Amrin Amin memebritahu BERITAMediacorp: "Saya amat gembira mengetahui bahasa Melayu juga memainkan peranan sebagai faktor penjalin hubungan antara orang Jepun dengan masyarakat Melayu di Asia Tenggara ini. Dalam jangka masa 50 tahun, hubungan dua hala berkembang mekar meliputi kerjasama ekonomi, politik dan kebudayaan termasuklah hubungan antara watan kedua-dua buah negara."

Profesor Moriyama mempunyai kepakaran dalam pengajian perbandingan terutama berkenaan sejarah, bahasa, sastera serta budaya Melayu dan Indonesia.

Dalam ceramah yang disampaikan kepada sekitar 200 guru, pensyarah dan murid itu, Profesor Moriyama menumpukan kepada sejarah pembelajaran bahasa Melayu di Jepun.

Meskipun minat terhadap bahasa Melayu berkurangan sejak perang dunia kedua, beliau berkata, keperluan berniaga antara sebab bahasa itu masih kekal dipelajari hingga ke hari ini.

"Ada perkembangan baru iaitu jurusan bahasa Indonesia diubah menjadi jurusan bahasa Melayu di beberapa universiti. Mungkin kerana terlalu sedikit tempat yang mengajar bahasa Melayu selama ini kecuali Universiti Bahasa Asing Tokyo. Masyarakat dan perindustrian Jepun rupanya masih menganggap pembelajaran bahasa Asia tempatan penting untuk berkomunikasi," kata Profesor Moriyama.

Siri ceramah Arif Budiman itu bertujuan memperdalam pengetahuan tentang perkembangan bahasa dan budaya Melayu, dan meningkatkan usaha masyarakat Melayu untuk melestarikannya. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan