Images
  • pm lee presiden moon
    (Gambar: TODAY)

'Dialog membina' perlu bagi capai keamanan, kestabilan di Semenanjung Korea

SINGAPURA: Singapura percaya "dialog membina" adalah perlu untuk mencapai keamanan dan kestabilan di Semenanjung Korea, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong hari ini (12 Jul).

Bercakap kepada para wartawan dalam satu sidang media bersama, PM Lee berkata Singapura berbesar hati kerana diberi peluang menjadi tuan rumah sidang puncak antara Korea Utara dengan Amerika Syarikat. Beliau juga berharap Korea Selatan dan pihak-pihak lain yang terlibat dapat mencapai kemajuan dalam rundingan seterusnya.

"Masih banyak lagi yang perlu dilakukan, dan akan ada banyak cabaran yang perlu ditempuhi," kata beliau. "Saya berharap Singapura berjaya menetapkan hala tuju (proses damai ini)."

PM Lee turut melahirkan penghargaannya terhadap inisiatif-inisiatif pemerintah Korea Selatan, termasuk usaha Presiden Moon sendiri untuk mengadakan dialog dengan Korea Utara.

Beliau menambah, Singapura akan terus bekerjasama dengan Korea Selatan dan masyarakat antarabangsa untuk mencapai keamanan dan kestabilan berkekalan selepas pelucutan senjata nuklear dilaksanakan sepenuhnya di Semenanjung Korea.

HUBUNGAN EKONOMI S'PURA DENGAN KOREA SELATAN

PM Lee menambah, hubungan ekonomi antara Singapura dengan Korea Selatan "kukuh dan berkembang", nilai perdagangan keseluruhannya mencecah S$45 bilion pada 2017.

Beliau berkata kedua-dua pihak membincangkan cara-cara untuk mempertingkat kerjasama ekonomi, dan melahirkan harapan agar kemajuan dalam beberapa kerjasama seperti perdagangan dapat dicapai. Misalnya, beliau berharap pelaksanaan semakan Perjanjian Perdagangan Bebas Korea-Singapura (KSFTA) akan dijalankan tidak lama lagi.

Semasa lawatannya, Presiden Moon dan PM Lee turut menyaksikan pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman (MOU) bagi meningkatkan lagi kerjasama dalam bidang pelaburan, sekitaran dan perniagaan bagi syarikat-syarikat kecil dan sederhana serta syarikat pemula.

"Perjanjian-perjanjian ini mengukuhkan lagi kerjasama dan mekanisme perdagangan, serta saling melengkapi kekuatan dan kelebihan masing-masing," kata beliau.

"Kami juga mengalu-alukan syarikat-syarikat Korea untuk memanfaatkan negara ini untuk berkembang di rantau ASEAN."

PM Lee menambah, kedua-dua pemimpin membincangkan tentang hubungan Korea Selatan dengan ASEAN, dan berkata beliau gembira Korea Selatan semakin terlibat di rantau ini.  

- CNA/AQ/tq

Top