Images
  • pm lee ASEAN
    PM Lee di acara sambutan Singapura sebagai pengerusi baru ASEAN hari ini (12 Jan). 

'Berdaya Tahan dan Inovatif' - tema S'pura sebagai pengerusi ASEAN

SINGAPURA: Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) memberi manfaat kepada rakyat Singapura dan negara-negara lain di rantau ini dengan menggalak keamanan, pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata demikian ketika berucap di acara sambutan Singapura sebagai pengerusi baru ASEAN bermula tahun ini.

Acara tersebut sedang berlangsung sekarang di Bishan Park.

Tanpa ASEAN, Singapura kata PM Lee mungkin tidak akan bertahan di rantau Asia Tenggara, apatah lagi menempa nama di persada dunia.

PM Lee mengenang kembali bagaimana ketika ASEAN dibentuk pada 1967, rantau Asia Tenggara sedang bergolak.

Singapura baru sahaja berpisah dari Malaysia, Konfrontasi belum lagi berakhir dan Perang Vietnam masih berterusan.

"Bekerjasama dalam ASEAN, negara-negara anggota menggalak kerjasama antara satu sama lain dan memupuk sekitaran yang stabil untuk semua di Asia Tenggara. Hasilnya, adalah keamanan, pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran bagi rakyat kita," kata PM Lee.

Beliau menambah, "ASEAN juga meningkatkan pengaruh kita di peringkat antarabangsa. Ia memberi negara-negara anggota suara kolektif di persada dunia. Kita berjaya bekerjasama dengan negara-negara besar seperti Amerika Syarikat, China, India dan Jepun untuk menuju kerjasama dan menangani masalah yang menjadi keprihatinan kita."

Jika anggota-anggota perintis ASEAN tidak membentuk ASEAN, PM Lee berkata rantau ini mungkin masih lagi bergolak dengan konflik.

PM Lee menambah, ASEAN bukan sahaja memainkan peranan sebagai sebuah jaringan keselamatan bagi negara-negara anggotanya, tetapi juga membina sebuah masyarakat yang bekerjasama dalam isu ekonomi dan sosial.

Maka itu, sebagai pengerusi ASEAN tahun ini, Singapura kata PM Lee akan memimpin ASEAN ke hadapan dengan dua idea sebagai tema iaitu "Berdaya Tahan dan Inovatif".

Ini bermakna memulakan projek-projek untuk mengukuhkan daya tahan terhadap ancaman-ancaman seperti pengganasan, jenayah siber dan perubahan iklim.

Di samping itu, ia menggalak skim-skim untuk membantu ekonomi-ekonomi serantau menjadi lebih inovatif dengan memanfaatkan teknologi untuk menjadikan ASEAN lebih dinamik dan terhubung sebagai sebuah masyarakat.

PM Lee berkata Singapura mempunyai agenda yang penuh dan akan bekerjasama dengan negara-negara anggota lain serta rakan-rakan dialog untuk menjadikan 2018 tahun yang bermakna bagi ASEAN.  

- CNA/NF/aq

Top