Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dakwaan States Times Review 'tidak masuk akal'; Shanmugam persoal mengapa media M'sia lapor rencana

Dakwaan-dakwaan dalam rencana States Times Review yang mengaitkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong dengan siasatan terhadap 1MDB 'tidak masuk akal sama sekali', namun ia dilaporkan oleh media-media aliran utama di Malaysia, menurut Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 09 Nov 2018 05:16PM Dikemas Kini : 09 Nov 2018 10:40PM

SINGAPURA: Dakwaan-dakwaan dalam rencana States Times Review yang mengaitkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong dengan siasatan terhadap dana negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) 'tidak masuk akal sama sekali', namun ia dilaporkan oleh media-media aliran utama di Malaysia, menurut Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam pada Jumaat (9 Nov).

Encik Shanmugam menegaskan bahawa tuduhan-tuduhan ke atas Singapura di dalam rencana laman berita States Times Review, yang berpangkalan di Australia, boleh dipertikaikan dengan mudah jika seseorang memeriksa faktanya.

Beliau berkata demikian semasa mengulas mengenai rencana bertajuk "Lee Hsien Loong sasaran utama siasatan 1MDB" yang mendakwa Malaysia sudah memeterai beberapa perjanjian tidak adil dengan Singapura bagi mendapatkan bantuan bank-bank negara ini untuk mengubah wang dari 1MDB.

"Proses nampaknya bermula di laman tidak dikenali dan kemudian dilaporkan media utama untuk menjadikannya seperti yang benar. Apabila ia dilaporkan di media utama, anda menjangkakan mereka akan memeriksa fakta-fakta sebelum menerbitkannya.

"Pemeriksaan asas sepatutnya menunjukkan tuduhan-tuduhan itu adalah palsu. Itu nampaknya tidak dilakukan, dilaporkan media utama di Malaysia. Jadi persoalannya mengapa mereka menerbitkan kepalsuan, walaupun tahu ia tidak berasas," kata Encik Shanmugam.

Beliau juga membidas tuduhan-tuduhan itu sebagai tidak masuk akal.

Singapura, kata Encik Shanmugam, bukan unik dalam keadaan ini dengan negara-negara lain juga menghadapi isu yang sama.

Menurut beliau, ini adalah contoh klasik untuk merosakkan keyakinan terhadap Singapura, merosakkan reputasi Singapura di peringkat antarabangsa serta merosakkan keyakinan terhadap Perdana Menteri.

"Ini tuduhan yang sangat serius dan jika anda tidak tahu, hakikat bahawa tuduhan-tuduhan itu nampaknya dari media utama, tentu ia mendapat sokongan," tegas Encik Shanmugam.

Beliau juga berkata Penguasa Kewangan Singapura (MAS) sudah menjalankan semakan penyeliaan paling meluas mengenai isu pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan kes 1MDB.

Encik Shanmugam turut berkata bahawa rencana itu 'berniat jahat dan memutarbelitkan' isu-isu dua hala yang sudah menjadi pengetahuan ramai sebelum ini.

"Ia melibatkan 1MDB dan (mantan) perdana menteri Najib, dan turut menyatakan bahawa PM kita dan Pemerintah Singapura turut bersubahat dalam pengubahan wang haram 1MDB, dan ini seolah-olah memberikan Singapura perjanjian-perjanjian yang menguntungkan dan Malaysia pula seakan-akan tidak tegas terhadap harga air (dan) memberi kami perjanjian yang menguntungkan berhubung HSR. Dakwaan-dakwaan tersebut tidak masuk akal sama sekali," tegas Encik Shanmugam kepada para wartawan.

Beliau berkata Pemerintah memandang serius terhadap dakwaan itu dan polis akan mengambil tindakan terhadap semua pihak yang terlibat, berdasarkan siasatan dan nasihat daripada Pejabat Peguam Negara.

"Saya rasa apabila anda membuat dakwaan mengenai rasuah dan pengubahan wang haram terhadap Perdana Menteri dan Pemerintah Singapura... kami tentunya menganggap ini sebagai sesuatu yang sangat serius," kata Encik Shanmugam.

MAS: RENCANA "TIDAK BERASAS" DAN "BERNIAT JAHAT"

Penguasa Kewangan Singapura (MAS) menyifatkan rencana itu sebagai "tidak berasas dan berbaur fitnah", sambil menyatakan bahawa rencana tersebut "membuat kenyataan yang palsu, berniat jahat dan mempersoalkan kewibawaan MAS sebagai pegawal selia kewangan".

"Rencana itu mengabaikan sama sekali tindakan-tindakan tegas yang diambil MAS buat pertama kalinya dalam tempoh dua tahun lalu terhadap bank-bank dan pemilik bank yang berpangkalan di Singapura berhubung peranan mereka dalam urus niaga berkaitan 1MDB. Malah, MAS seringkali bertindak lebih pantas daripada bidang kuasa asing," menurutnya.

"Ia turut membuat dakwaan palsu bahawa Singapura dipaksa untuk membuka semula siasatan terhadap 1MDB hanya selepas berlakunya perubahan pada kepimpinan politik di Malaysia."

Siasatan terhadap dana pelaburan negara itu tidak pernah ditutup, menurut MAS.

"Di Sidang Media bagi Laporan Tahunan 2016 dan 2017, MAS sudah menjelaskan bahawa ia tidak akan teragak-agak untuk menyiasat sebarang petunjuk atau bukti berkaitan aliran dana berhubung 1MDB," tambahnya. "Ini ditekankan lagi dalam kenyataan terbuka yang dikeluarkan secara bersama MAS, Pejabat Peguam Negara dan Pasukan Polis Singapura pada 8 Jun 2018."

Tambahan lagi, pihak berkuasa Singapura sudah memberi kerjasama dengan rakan sejawatan mereka di Malaysia, Switzerland, Luxembourg dan Amerika Syarikat semasa pentadbiran kerajaan Malaysia yang lalu, tambah MAS.

"MAS meletakkan setinggi-tinggi keutamaan dalam melindungi integritinya sebagai pengawal selia kewangan, dan memandang serius terhadap sebarang dakwaan palsu."

Encik Shanmugam menambah bahawa Singapura adalah bidang kuasa pertama untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang terlibat dalam skandal 1MDB. Tindakan yang diambil termasuk menutup dua bank, mendakwa dan menjatuhkan hukuman ke atas lima orang serta memohon Interpol untuk mengeluarkan notis merah terhadap rakyat Malaysia, Low Taek Jho yang juga dikenali sebagai Jho Low.

Beliau bagaimanapun enggan membuat sebarang spekulasi apabila ditanya sama ada pemerintah asing mungkin terlibat dalam menyebarkan dakwaan palsu tersebut.

IMDA KELUARKAN NOTIS ARAH TURUNKAN RENCANA

Secara berasingan, Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) menyatakan bahawa ia sudah mengeluarkan notis kepada States Times Review supaya menurunkan rencana itu sebelum pukul 5.00 petang tadi (9 Nov).

Jika ia gagal berbuat demikian, akses kepada laman itu akan disekat.

"IMDA sudah menilai bahawa rencana itu menjejas keyakinan awam terhadap integriti Pemerintah Singapura dan ia juga menggugat kepentingan awam. Oleh itu, ia merupakan antara kandungan terlarang di bawah Kod Amalan Internet IMDA," menurutnya dalam satu kenyataan.

IMDA juga sudah meminta Facebook supaya menyekat akses untuk mengongsi rencana tersebut.  

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan